Ustaz Hassan Shukri Tokoh Maal Hijrah Selangor

Bekas Timbalan Presidn PAS, Ustaz Hasan Shukri telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Selangor.

TV Selangor melaporkan mantan Senator, Hassan Shukri dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Selangor.

Beliau yang merupakan pentadbir Sekolah Agama Darul Tarbiah, Gombak telah memegang jawatan Senator selama enam tahun.

Penglibatan beliau dalam aktiviti persatuan, politik, dan program peringkat antarabangsa melayakkan beliau menerima anugerah itu.

"Yang pertama saya bersyukur kepada Allah dan menyembah kasih kepada DYMM sultan Selangor yang telah menyampaikan anugerah kepada saya, tokoh maal hijrah 1431 Hijrah," kata beliau.

Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 dan cenderahati.

Ditanya apa yang akan dilakukan dengan wang saguhati yang diterima, beliau berkata,

"Bagi saya tiada apa insyallah itu perkara biasa dan saya syukur lah. Mudah-mudahan kita akan gunakan juga sedikit sebanyak akan saya sumbangkan," katanya.

IMBAUAN


Hassan, dikenang pejuang terbilang
Azamin Amin

Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun 'bermandi darah' di Kuala Lumpur, dia sudah terpacul tetap menantikan kedatangan mereka. Dan ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak.

Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak, atau menghunus sunding yang tersisip di pinggangnya,dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.

Tidak ada satu biji mata pun melainkan dia, yang mampu berdepan para pejuang yang digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi Majlis Gerakan Negara ketika tragedi 13 Mei 1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia menahan pendekar-pendekar dari kumpulan "parang terbang dan selempang merah" untuk mara ke ibu kota.

Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke kampung halaman masing-masing
.

Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. Malah ketika negara dilanda krisis Tun Razak sendiri menghubunginya setiap hari. Sehari kadang-kadang sampai dua kali!

Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti dibibir pejuang dan penyokong PAS selama ini agak kelam dan menyepi. Entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga antara pejuang terawal parti tertua di Malaysia ini umpama membawa diri. Namun rajuknya tidak kemana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.

Hassan Shukri yang dipanggil 'Ustaz' masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang dianjurkan di Markas PAS Taman Melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau menebas dan mencangkul di depan Markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang menyertai aktiviti di situ.

Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi di benaknya apatah lagi kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali sebagai 'Headquartes' pejabat PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut Kuala Lumpur begitu sinonim dengan Hassan Shukri.

Masakan tidak idea penubuhan Markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula dengan modal RM20,000 beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina Markas. Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Nakhaei untuk mereka sama-sama membeli tanah dengan harga sekitar RM26,000 bagi meluaskan kawasan Markas sekitar tahun 1982.

Selain menerima sumbangan wang, Markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya. Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Semenjak itu, Markas PAS Taman Melewar telah menjadi tempat persinggahan atau bermalam paling murah di Kuala Lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.

Lebih menarik ianya menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji sebelum melapor diri di Lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KLIA dan Pusat Transit Tabung Haji Kelana Jaya.

Pejuang Islam tidak akan susah...

Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS terkenal di pelusuk negara. Ya, Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan Markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik perlembagaan PAS dan merupakan 'buku undang-undang PAS' yang masih hidup serta sentiasa menjadi rujukan.

Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14 tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.

Walaupun usia telah menjangkau 70an', Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya mengingati satu persatu sejarahnya bersama PAS dan wawancara yang berlangsung hampir dua jam itu, terasa begitu singkat rasanya memandangkan kepetahan dan nada selorohnya, membuatkan saya pegun dan asyik dengan kisah lamanya.

"Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS.

"Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu dokumentasi sejarah," katanya tersenyum semula.

Mengakhiri perbualan yang 'berlangsung' di kediamannya sendiri baru-baru ini. Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.

"Percayalah... sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. Mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan... Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.

"Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan...," katanya sambil mecebiskan nasihat kepada pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan bawahan, supaya parti akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa mendatang.


Ulasan GB

Kenapa pimpinan PAS yang ada tak pernah melakukan sesuatu untuk menghormati dan mengenang jasa-jasa para pemimpin PAS terdahulu di dalam muktamarnya setiap tahun? Apakah mereka merasakan perjuangan PAS ini hanya hasil usaha dan titik peluh mereka tanpa pengorbanan para pejuang terdahulu ini?

Ramai yang telah dilupakan. Memang menyedihkan apabila Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung tidak mempunyai agenda mengenang jasa pimpinan PAS terdahulu ini sehinggakan rakan sendiri yang mengangkat bekas pimpinan PAS ini menjadi tokoh Maal Hijrah.

Timbalan Presiden khususnya, can u please answer me what have you done for the party so far except creating problems with your statements with the press?

Artikel Penuh

SPRM Dibenar Siasat Tanpa Had, Kerajaan Negeri Bertegas Lindungi Kakitangan

Kerajaan Negeri Selangor tetap tegas dengan pendirian bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)tidak boleh menyoal siasat kakitangannya selepas waktu pejabat.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, tindakan itu dibuat bagi menjaga keselamatan kakitangannya.

"Kerajaan negeri tetap bahawa hanya boleh siasat pada waktu pejabat dan kita tidak mahu siasatan dibuat di luar kawasan sebab kita tidak mahu kesan yang melibatkan mendiang Teoh Beng Hock berulang," katanya.

Rodziah berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan bahawa SPRM dibenarkan menjalankan soal siasat selepas waktu pejabat dan tanpa had masa yang ditetapkan.

Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim mahkamah tersebut yang diketuai oleh Hakim Datuk Hassan Lah sebulat suara memutuskan waktu siasatan tidak boleh dibataskan atau terhad dalam tempoh masa bekerja yang biasa.

Rodziah berkata, SPRM tidak memerlukan tempoh masa yang panjang bagi menyoal siasat saksi untuk mendapatkan maklumat kerana prosedurnya berlainan dengan soal siasat yang dilakukan terhadap penjenayah.

"Sebenarnya siasatan itu tidak sepatutnya sebagai penjenayah hanya untuk mendapat maklumat. Ia tidak perlu begitu lama dan sebagainya dan saya rasa sekadar waktu pejabat adalah sesuai dan wajar,"katanya.

Mantan Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri, Teoh Beng Hock ditemui mati keesokan harinya di tingkat lima Plaza Masalam selepas disoal siasat SPRM.

Sehingga kini, Inkues terhadap kematiannya masih disiasat dan bedah siasat kali kedua ke atas mediang terpaksa dibuat setelah pakar patologi yang dilantik kerajaan negeri, Dr Pronthip Rojanasunand mendedahkan bahawa 80 peratus kemungkinan Beng Hock dibunuh.



Artikel Penuh

Edar RisalahLiwat, Dua Pemimpin AMK Ditahan

Solat Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam hari ini menyaksikan ketumbukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengepung perimeter masjid.

Polis dikerah ke bangunan suci ini bagi membendung tindakan Angkatan Muda Keadilan mengedar risalah memorandum, sejurus selepas solat.

Dipercayai risalah tersebut diedar bagi mendesak Mahkamah Syariah lebih telus dan bebas daripada campurtangan pihak pemerintah.

Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainuddin dan Timbalannya, Azizi Ahmad ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk disoal-siasat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah reman ke atas kedua-dua yang ditahan dan akan disoal siasat di bawah akta Mesin Cetak kerana mengedar risalah tanpa permit.

“Kita menahan dua orang kerana mengedar risalah tanpa permit, di bawah Akta Mesin Cetak apabila hendak mengedar risalah mesti ada permit. Kalau mengedar risalah tanpa permit ini menjadi satu kesalahan kita akan tangkap. Kita akan mintak reman.

“Saya ingin memberi amaran parti-parti politik dan juga NGO di Selangor, jangan cuba hendak mencabar polis untuk mengadakan demonstrasi haram, forum-forum khususnya forum yang menyentuh perbicaraan Anwar Ibrahim

Sementara itu, Khairul yang dihubungi berkata, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin hadir ke IPD bersama Peguam, Abd Razak Jamil dalam usaha membebaskannya.

Risalah yang diedarkan juga mendesak Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menyegerakan prosiding kes Qazaf yang difailkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AMK juga menggesa Mahkamah Syariah seluruh negara bersikap berani, adil dan telus serta tidak terpengaruh dengan sebarang campurtangan politik.

AMK turut mendesak supaya martabat mahkamah itu diperkasa dan dipertahan serta megesa seluruh badan pendakwaan dan kehakiman mahkamah tersebut tidak tunduk kepada campurtangan politik.

Memorandum berkenaan turut mengecam kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Mneteri, Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom yang menyatakan kes qazaf Anwar tidak boleh dibicarakan kerana ia sedang berjalan di mahkamah sivil.

AMK dalam memorandum itu menyifatkan kenyataan Jamil Khir sebagai menghina Mahkamah Syariah kerana menjatuhkan martabat dan maruah mahkamah berkenaan.

Ulasan GB

Dah lama tak dengar dan lihat Datuk Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Selangor yang amat diketahui amat memusuhi kerajaan PR Selangor yang dipilih oleh rakyat.

Khalid berkata "jangan cuba hendak mencabar polis untuk mengadakan demonstrasi haram", tetapi malangnya ayat ini hanya sah untuk demo yang dibuat oleh PR. Khalid tidak pernah pula membuat seruan yang serupa kepada demonstrasi yang dianjurkan oleh UMNO atau BN.



Artikel Penuh

Golongan Pengampu Jahanamkan Parti - Hadi Awang

Jangan meramaikan pengampu dalam PAS
Saidah Hairan

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan seluruh pimpinan PAS negeri Selangor supaya menjadi pemimpin berjiwa besar serta bersikap terbuka dan tidak meramaikan pengampu kerana ia akan menjahanamkan masa depan parti.

Beliau menegaskan, menjadi pemimpin mesti rela dikritik jangan takut dikritik dan jangan berdegil untuk mempertahankan diri setelah dikritik kerana itu akan menjatuhkan maruah seorang pemimpin.

Katanya, menjadi pemimpin bukan saja untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya tetapi lebih penting bertanggngjawab terhadap Allah SWT. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Memperkasa Parti Memperkukuh Pakatan PAS Selangor di dewan MBSA, Shah Alam, Sabtu lalu.

Tambah beliau, apabila sudah menjadi pemimpin jangan memutuskan hubungan dengan parti (PAS) memelihara hubungan dengan masyarakat begitu juga dengan raja kerana raja merupakan sebahagian daripada perlembagaan.

"Pemimpin perlu menjaga hubungan dengan pegawai kerajaan kerana jika hubungan tidak baik apa saja perancangan akan tergendala kerana tidak mendapat sokongan daripada mereka," tegasnya.

Walaupun PAS mengalami `pasang surut' dalam pilihan raya katanya tetapi ahli PAS mencecah satu juta orang dan keistemewaan PAS kerana mempunyai ketahanan yang hebat.

Beliau berkata, PAS berjaya memecah tembok pemisah dengan pengundi bukan Islam apabila ditubuhkan Kelab Penyokong PAS disamping mengadakan tahaluf Siyasi (persefahaman politik) dengan parti dan kumpulan bukan Islam.

Katanya sokongan daripada orang bukan Islam kepada PAS disebabkan pimpinan PAS mempunyai harga diri serta prinsip dan diatas keistimewaan itu mereka menilai keberkesanan PAS.

Menurut beliau, PAS perlu membina dan memperkukuhkan kekuatan diatas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar kekuatan Islam, dalam masa yang sama hendaklah mendapat undi bukan Islam sebaik mungkin itu realiti politik dalam negara bermasyarakat majmuk.

Beliau turut mengingatkan peserta seminar dengan petikan hadis bermaksud; "Barang siapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarah oleh manusia, Allah meredai dan Allah menjadikan semua makhlum meredainya, ..."

"Keredaan ini sangat penting dan perlu bagi kita sebagai pejuang parti Islam. Kita perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah," tegasnya dihadapan pimpinan PAS Kawasan dan negeri.

Menurut beliau, PAS menjadi parti paling berpengalaman pernah menjadi pembangkang bersendirian di peringkat negeri dan pusat begitu juga memerintah kerajaan negeri secara bersendirian.

PAS juga pernah menyertai kerajaan campuran dan pernah menyertai BN di semua peringkat dan kembali bersendirian, seterusnya bekerjasama dalam bentuk angkatan perpaduan ummah dan pakatan dengan parti lain.

Justeru, ahli-ahli PAS boleh menerima keputusan pilihan raya dengan sabar dan istiqamah walaupun memakan masa dan generasi maka PAS hendaklah belajar daripada pengalaman itu secara positif.

Beliau menekankan sekarang PAS mengambil pendekatan `Tahaluf Siyasi' iaitu persefahaman politik melalui proses yang teguh di atas prinsip dan batas kebijaksanaan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah al-Ijmak Ulamak dan Qiyas yang nyata dengan pengamatan siyasah syari'yyah mengikut Perlembagaan PAS.

"Alhamdulillah strategi kerjasama dalam bentuk tahalus siyasi itu berjaya merombak kesombongan yang wujud dalam BN sehingga kini mereka berhadapan dengan keretakan dalam BN,"tegasnya.

Selain itu beliau turut menekankan PAS akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki dengan memainkan peranan yang lebih aktif.

Di akhir ucapan itu beliau berharap semua pencapaian yang diperolehi PAS perlu dimuhasabah kejayaan dan kelemahan di semua peringkat sama ada kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen serta memperkasakan Kelab Penyokong PAS secara aktif bagi meningkatkan kejayaan sehingga ke tahap mencapai kemenangan yang lebih besar.

Ulasan GB

Nampaknya pengampu-pengampu Presiden menerima tamparan paling keras di muka mereka dengan kenyataan di atas.

Ada kemungkinan Datuk Seri Presiden menyedari bahawa tindakan melampau pengampu-pengampunya menyebabkan integriti dan kredibilitinya tercalar teruk apabila terdapat sang pengampu ini telah terlajak jauh dengan kebebalan dan salah tafsir pengertian "wala'" dan "tsiqah" sepertimana yang dituntut di dalam 'amal jamiyy. Wala' membabi buta tanpa ilmu menjadi harakah hancur binasa lantarannya.

Kita melihat sikap Presiden yang berlapang dada menerima teguran tetapi terdapat sang pengampu yang mencemarkan imej parti sepertimana yang berlaku di dalam kes kecaman beberapa pengampu ke atas pengkritik-pengkritik parti sebelum ini. Semasa Datuk Presiden membuat keputusan untuk mengadakan Seminar Memperkasakan Parti untuk mendengar sendiri luahan Prof Abdul Aziz Bari, pengampu ini tiba-tiba membelasah dan mengecam Professor tersebut seperti kenyataan-kenyataan Abu Bakar Chik, Idris Ahmad, Tuan Ibrahim Tuan Man, Nasruddin Hassan Tantawi dan beberapa pemuka-pemuka parti sehingga Datuk Presiden sendiri menerima tempias "malu" dan "dihinakan" ekoran dari tindakan pengampu-pengampu ini.

Sehinggakan golongan pengampu ini menganjurkan Seminar Blogger hujung minggu ini nak brainwash blogger-blogger supaya menjadi pengampu seperti mereka.

Tidak cukup sekadar itu, terdapat pengampu-pengampu dari kalangan mereka terdiri dari webmaster dan blogger yang senegeri dengan Datuk Presiden sendiri menyerang habis-habisan mereka yang mengkritik pimpinan, seolah-olah hanya kumpulan mereka saja yang betul dan boleh menyertai syurga Ilahi dengan cara memaki hamun itu.

Kita melihat bagaimana pengkritik-pengkritik parti (samada ahli atau pun tidak) seperti Topeng Perak, Tulang Besi, Al-Bakistani, ManjongMari, GB sendiri, dan beberapa blogger lain telah diserang hebat oleh golongan pengampu ini. Malah Mursyidul Am PAS dan mereka yang cuba mempersetujui idea pengkritik seperti Peguam PAS, Sdra Hanipa Maidin juga diserangnya bertubi-tubi. Tidakkah betul GB umpamakan kerja mereka sebagai kerja gila?

GB dituduh dengan pelbagai gelaran, pemecah-belah parti, munafiq, agen talibarut UMNO ... Apa nak GB katakan lagi? Hanya bersyukur asalkan Allah meredhai dan menerima diri kita.

Walhal Datuk Presiden sentiasa mendengar dan menerima kritikan walau betapa tajam dan pedas. Itu lambang pemimpin berjiwa besar tetapi sayangnya ia dicemari dengan tindakan pengampu yang berjiwa kerdil yang bakal menjahanamkan parti.

Dan GB telah mencoretkan hal ini di dalam mesej sempena sambutan Maal Hijrah:-


Maal Hijrah : PAS Perlu Bersedia Menerima Perubahan

Ulasan GB

PAS kini sedang melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik sehingga timbul fenomena yang dilihat seperti ianya digoncang sekuat-kuatnya bagi melihat keutuhannya untuk mengharungi cabaran di era baru.

Zaman transisi dari sebuah organisasi dakwah yang sifatnya begitu tradisional kepada sebuah organisasi yang progresif untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, ledakan teknologi maklumat, diikuti dengan kehadiran golongan masyarakat yang berdasarkan pengetahuan (k-community) dan seumpamanya memerlukan perubahan kepimpinan dan struktural.

Ia sekaligus menyaksikan sudah berlalunya zaman "zon selesa" untuk pemimpin dan organisasi parti untuk sekadar mempertahankan status quo.

Tulisan diatas GB bawa untuk sama-sama kita renungkan mengenai kepincangan yang sedang dialami oleh PAS kini, sebagai satu bahan penelitian untuk menerima seadanya apa yang berlaku kini sebagai satu "sunatullah" untuk mentransformasikan PAS kepada sebuah organisasi dakwah dan politik yang lebih berjaya.

Suka atau tidak suka, perubahan pasti berlaku. Tidak ada dua hari yang bernar-benar serupa pada manusia dan sekalian alam, begitulah kepada PAS. Kesemua faktor perubahan berlaku dengan mengakui adanya nilai konstans - iaitu dasar perjuangan yang tetap.

Hari ini tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi lagi. Kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan sesebuah organisasi dan kepimpinannya diteliti, dibedah, disiasat, dianalisa dan didokumentasikan di bilik-bilik kuliah universiti di dalam pelbagai matapelajaran di dalam bentuk "case study" dan PAS tidak terlepas darinya.

Malah dalam beberapa keadaan ia kini menjadi desertasi untuk seseorang bergelar sarjana dan pemegang PhD.

Zaman untuk merajuk, zaman untuk bersembunyi, zaman untuk mempertahankan sikap "futur" telah tersangat semalam.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi. Mereka yang berdiam diri terhadap kepincangan dan berrahsia untuk menutup kelemahan dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.

Tanpa melupai fakta bahawa sebagai sebuah organisasi dakwah, PAS akan menghadapi tribulasi-tribulasi, tetapi di dalam bentuk baru. PAS akan menempuh gelombang tribulasi Badar, Uhud dan Khandaqnya sendiri, malah PAS akan mengharungi "Perjanjian Hudaibiyah" dan "fathul Makkah"nya sendiri.

Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan yang futur (lembab). Perlu menerima hakikat bahawa struktur yang ada boleh dirombak bila-bila masa pabila ia dilihat sudah tidak mampu menatangi zamannya. Kitar hayatnya (Life cycle) akan menetapkan bahawa proses kematangan parti tidak lagi menunggu pasang-surut sokongan terhadapnya.

Sebagai entiti politik zaman baru juga PAS perlu sentiasa melakukan penyelidikan dan analisa SWOT (Strength, Weakness, Opportunities, Waknessess)nya sendiri. Perlu melakukan matriks pengurusan dan kajian "market share" yang diperolehi untuk mengetahui kedudukan dan status quo dirinya berbanding dengan parti-parti politik lain.

Zaman untuk mendengar ceramah retorik sudah berlalu. Contohnya, kelmarin Datuk Mahfuz Omar baru menempelak dan mendesak Ariffahmi untu meletak jawatan tetapi pada hari ini. Mahfuz sendiri boleh ditempelak untuk meletakkan jawatan kerana mementingkan urusan peribadi daripada parti. Dan langkah terbaik bagi Mahfuz ialah: senyumlah menerima kritikan itu, akur dan berterima kasih kerana peringatan serta dalamasa yang sama perbaiki diri. Kerana yang mengkritikmu itu adalah cerminan bagi dirimu sendiri. Kelmarin engkau menempelak, hari ini engkau ditempelak. Yang yang menempelak itu, "hakikat"nya adalah dari Tuhanmu, yang bukan membencimu tetapi mengasihmu. Begitulah juga pengajaran untuk pemimpin parti yang lain.

Tertinggallah mereka yang masih menguleti mimpi untuk menjadi "kerajaan yang dinanti" jika masih bertegang urat, menelan pil khayal untuk bermakian-makian menjadi penyokong yang akhinya membawa parti rebah ke bumi.


Artikel Penuh

Isu Satu Lambang PR : Ust Zol Tak Setuju, GB Setuju

Konvensyen PR esok menjadi salah satu batu tanda penting hubungan parti-parti dalam PR. Dalam suasana Umno / BN amat berharap parti-parti dalam PR bercakaran sesama sendiri, tiba-tiba konvensyen ini berlangsung.

Sehingga kini belum ada komen pemimpin Umno / BN mengenai konvensyen ini. Mungkin mereka masih terkejut dengan kejadian di parlimen 14 Dis yang lalu.

PR guna satu lambang seperti BN? Saya harap konvensyen ini tidak mengeluarkan resolusi begitu. Kenapa?

Penting sangatkah lambang? Kecuali sistem pilihanraya kita berubah, ada cara lain selain lambang untuk membolehkan pengundi memilih parti yang mereka mahu, lambang masih sangat penting.

PAS berbeza dengan PKR dan DAP sama seperti Umno berbeza dengan MCA dan MIC. Perbezaan ini harus diiktiraf sama seperti pengiktirafan terhadap wujudnya persamaan. Apa yang mustahak, perkukuhkan keserasian dengan perbezaan yang wujud itu.

Lelaki dan perempuan berbeza tetapi mereka tidak perlu memakai baju yang sama untuk memaklumkan kepada umum bahawa mereka adalah pasangan suami isteri. Cukuplah dengan mereka menaiki kereta bersama, membeli-belah bersama, makan angin bersama, ketawa dan menangis bersama, memegang tangan anak-anak ketika berjalan bersama, itu sudah memadai.

Jiran-jiran tahu, kawan-kawan tahu, bahkan orang yang tidak mengenali mereka pun tahu bahawa mereka pasangan suami isteri bila melihat mereka begitu.

Apa yang mengikat mereka? Ya, selain dokumen perkahwinan, mereka diikat oleh kebersamaan mereka menghadapi situasi. Ada ketika mereka berkelahi, berbalah, bergaduh, tetapi kemudiannya mereka kembali bersama malah lebih intim lagi. Demi siapa? Ya, demi anak-anak, masa depan mereka.

PAS, PKR dan DAP tidak perlu menggunakan lambang yang sama. Lebih selesa, tenang kita memakai lambang sendiri seperti sekarang. Cukuplah, kita berarak bersama, kita berkempen bersama, kita bermarkas bersama, orang sudah tahu bahawa kita berkawan. Dunia sudah tahu itu semua.

Kita tidak perlu menipu rakyat seperti BN. Ke sana sini memikul dacing, tapi Umno menikam Melayu, MCA dan MIC pun tidak setara mana membela kaum mereka. Orang yang terbela ialah orang yang berkuasa, pemimpin mereka.

Dengan satu lambang itu, pada hari ini rakyat tidak kemana. Kekayaan negara mereka punggah dan difaraidkan sesama mereka. Rakyat ditipu dengan satu lambang. Satu lambang, kononnya simbol perpaduan. Akhirnya, mereka memang berpadu tetapi untuk tipu kita.

Kita tampil di hadapan rakyat dengan wajah kita. PAS, PKR dan DAP dengan wajah masing-masing. Kita suarakan idealisme kita. Fokus kita ialah rakyat, masa depan mereka.

Politik tipu rakyat dengan satu lambang tidak harus kita warisi. Kita mesti berbeza daripada BN. Kita perlu melakar wajah politik baru untuk Malaysia.

Berikan rakyat Malaysia peluang yang luas untuk menentukan masa depan mereka. Jangan ikat dan berkas mereka dengan lambang seperti BN. Andai PR berkuasa, lebih baik kita berikan rakyat Malaysia banyak pilihan, PAS, PKR dan DAP daripada kita mengikat mereka dengan dua pilihan sahaja, PR dan BN.

Rakyat akan lebih memberontak jika mereka diikat berbanding mereka diberikan banyak peluang dan pilihan.

BN telah memenjara rakyat dengan ‘dacing’. Hari ini rakyat memberontak. Ahli atau penyokong Umno tidak mampu beralih kepada parti lain dalam komponen BN, ahli atau penyokong MCA tidak beralih kepada Gerakan misalnya, kenapa? Kerana mereka jemu dengan ‘idealisme’ dacing itu. Kesudahannya mereka meninggalkan terus ‘dacing’.

PR mesti memberi peluang kepada ahli atau penyokongnya terus bersama PR sekali pun dia mungkin tidak mahu bersama dengan salah satu parti dalam PR. Bukankah itu lebih menguntungkan politik kita? Dia tidak selesa dengan A, boleh pilih B, namun masih bersama PR.

Justeru, saya tidak bersetuju PR menggunakan satu lambang sahaja. Lebih baik terbuka, lebih selesa bebas, lebih mesra beridentiti. Dada tidak sempit, fikiran tidak kusut.

Bukan saya seorang tetapi saya yakin rakyat Malaysia juga begitu. Rakyat Malaysia sudah fobia dengan satu lambang, ‘dacing’. -bongkarsauh

Ulasan GB

Demikian pendapat dan pandangan Ust. Zolkharnain.

Bagi GB, tidaklah menjadi satu masalah besar mengenai isu penggunaan satu lambang ini. Boleh ada boleh juga tiada. tetapi lebih baik ada.

Kita melihat dari sudut positif jika ianya diadakan. Ia mampu mengeratkan hubungan dalam ertikata kita berada di dalam satu bahtera yang sama - bernama Pakatan Rakyat - untuk mwujudkan semangat kekitaan yang lebih berkesan untuk menghadapi lawan.

Tiada lagi pemisahan yang didasarkan faktor keperbezaan politik kepartian samada PAS, PKR atau DAP. Sementelah lagi ketiga-tiga parti telah mampu keluar dari kepompong etnik tertentu, tak seperti BN yang setiap komponennya dilihat mewakili hanya kelompok-kelompok etnik tertentu.

Evolusi kematangan berpolitik rakyat di dalam negara kita telah menjurus ke arah penolakan parti politik "assabiyah" yang berteraskan etnik dan ini memudahkan untuk Pakatan Rakyat mendapat sokongan rakyat tanpa mengira bangsa untuk membuat pilihan lain selain BN.

Benar kata Ust.Zol, "Cukuplah, kita berarak bersama, kita berkempen bersama, kita bermarkas bersama, orang sudah tahu bahawa kita berkawan. Dunia sudah tahu itu semua". Namun bagi GB, ia akan lebih indah dan mantap apabila setiap dari kita, tak kira PAS, PKR atau DAP menggunakan baju atau topi yang berlambang sama. Ia untuk mengukuhkan kesatuan hati, kesatuan pemikiran dan kesatuan tindakan bagi meruntuhkan BN.

Analogi kita berada di padang bola, dua pasukan bertarung. BN versus PR. Jadi agak tidak berapa berjaya jika BN dengan warna biru pekatnya sedangkan pemain PR menyarung jersi dengan tiga warna berbeza. Setentunya, ia memeningkan spectator (penonton), terlebih pening lagi di kalangan pemain-pemain PR sendiri.

Seperkara lagi, kita ingin menampakkan bilangan kita ramai di dalam satu-satu perhimpunan, bersesuaian imbauan firmanullah...wa addilahum masta ta'tum min quwwah... Kita tidak ingin bertelagah untuk menyatakan PAS ramai, PKR sedikit, DAP cuma seorang dua apabila ia dikenali dengan lambang-lambang yang berbeza-beza. Dengan pemakaian satu lambang tiada lagi rasa kekok apabila sesorang ahli DAP, misalnya yang ingin turut serta menyokong calon PAS atau PKR. We are all one, PR.

Apa-apa pun kita serahkannya kepada semua peserta konvensyen esok apa yang terbaik untuk Pakatan Rakyat.

Artikel Penuh

Kini Presiden Sendiri Merasakan Betapa Pedihnya...

Sebuah akhbar tempatan melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan kegagalan ramai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk hadir pada sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan Bajet 2010 Isnin lalu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Sambil menegaskan beliau memandang serius perkara itu, Perdana Menteri berkata arahan sudah diberikan supaya semua Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen hadir pada persidangan itu.

“Saya sudah dapat senarai mereka yang tak hadir dan kita akan menyusulinya dengan tindakan sewajarnya. Sekurang-kurangnya kita kena buat satu perjumpaan untuk mengingatkan tanggungjawab mereka untuk hadir pada persidangan Parlimen,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Copenhagen malam tadi.

Itu BN, dia punya pasal.

Bagaimanapula dengan Pakatan Rakyat terutama PAS?

Saya memfokuskan hanya kepada Parti Islam SeMalaysia dimana lima orang dilaporkan tidak hadir. Walaupun ia jumlah terkecil daripada sekalian wakil rakyat Pakatan Rakyat yang tidak hadir, namun adalah tidak wajar seseorang wakil rakyat dari sebuah parti yang bertunjangkan Islam menunjukkan teladan yang buruk, sementelah lagi yang tidak hadir dari kalangan PAS itu bukanlah calang-calang orangnya.

Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang dilaporkan kelihatan agak marah dengan insiden berkenaan.

Presiden PAS tentu kini banyak belajar dan menginsafi kejadian itu. Betapa pentingnya untuk memenuhi tanggungjawab dan mengutamakan prioriti serta tidak meninggalkan Parlimen dengan alasan remeh-temeh.

Satu ketika dahulu, di sini, GB sendiri pernah menegur Tuan Presiden, tetapi GB dihentam secukupnya oleh ahli PAS yang taksub kepada Tuan Presiden. GB nukilkan semula:


Di mana Presiden PAS, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang berada sekarang ini tatkala parti dan negara diselubungi persoalan yang menuntut jawapan darinya?

Beberapa kali persidangan parlimen berlansung Haji Hadi gagal untuk hadir dengan alasan yang tidak diketahui oleh sesiapa.

Tatkala krisis politik Perak meletup, dan sewaktu semua pihak tertanya-tanya dimanakah Presiden PAS berada bagi mempastikan kerajaan Pakatan Rakyat dibela dan dibantu secukupnya oleh pimpinan Pakatan Rakyat, Haji Hadi berada di luarnegara, dikatakan pergi menyerahkan sumbangan kepada Tabung Mangsa Kezaliman Usrael yang sepatutnya tugas itu boleh dilakukan oleh pimpinan yang lain.

Kemudian, tatkala isu Gobind Singh Deo digantung dimana suara dan bilangan ahli Pakatan Rakyat diperlukan untuk di dalam undian belah bagi, sekali lagi Presiden PAS tidak ada. Sekali lagi dikatakan berada di luranegara.

Kini, apabila isu Kerajaan Perpaduan hangat diperbincangkan dan apatahlagi di dalam suasa parlimen sedang bersidang, Haji Hadi berada di luarnegara lagi.

Kita jadi hairan bagaimana seorang yang dilantik menjadi wakil rakyat untuk membawa suara rakyat dari kawasan parlimennya, tiba-tiba kerap benar tiada di dalam Dewan Rakyat tetapi terlalu sibuk dengan aturcara di luarnegara.

Apakah masalah negara sudah terlalu remeh baginya untuk diambilkira dan pengundi tidak perlu lagi diberikan perhatian, cukup dengan sekadar meletakkan dua orang pegawai di pejabat DUN dan Parlimen bagi menguruskan semua hal-hal rakyat?

Seingat saya, Haji Hadi, setelah memenangi jawatan sebagai Presiden PAS tanpa bertanding telah berjanji untuk memberikan khidmatnya yang terbaik tetapi nampaknya Haji Hadi lebih gemar untuk berurusan dalam hal-hal di luar negara berbanding dengan perkara yang berkaitan di dalam negara.

Saya tidak kata ke luarnegara itu tidak boleh, tetapi apakah wajar ia dilakukan sewaktu persidangan parlimen berlansung dan sewaktu negara sedang menghadapi masalah yang menuntut jawapan segera daripadanya seperti masalah Kerajaan Perpaduan? Apa tah lagi ia dilakukan terlalu kerap.

Kita jadi hairan yang kita terpaksa mendengar jawapan mengenai Kerajaan Perpaduan yang diberikan di satu majlis di London!

Perlu diingatkan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kedudukan bahawa anda perlu merasa bertanggungjawab dan akauntabiliti untuk menjalankan amanah sebaik-baiknya bagi pengundi anda kerana kita khuatir akan berlaku peristiwa pilihanraya 2004 dimana ramai wakil rakyat Barrisan Alternatif ketika itu tewas akibat dari track record yang buruk.

Anda dibayar gaji oleh rakyat Malaysia untuk menjalankan amanah itu dan seandainya diluarnegara itu lebih penting, sebaik-baiknya lepas jawatan sebagai wakil rakyat di dalam negara supaya anda boleh menjadi wakil rakyat di luarnegara.

Kita marah wakil rakyat BN seperti Ong Tee Kiat berada di luarnegaara semasa Parlimen bersidang dan tatkala isu PKFZ hebat menuntut jawapan darinya, tetapi mengapa kita juga perlu ada pemimpin semacam itu?

Baliklah segera wahai pemimpinku kerana kelupaan menunaikan tanggungjawab itu amat besar bahananya kepada jemaah nanti.


Kini Tuan Presiden melihat sendiri apa yang terjadi apabila akhlaq wakil-wakil rakyat PAS saling tak tumpah dengan MP dari BN.

Hal ini mengulangi satu pengundian belah bahagi atas permintaan 15 anggota Dewan Rakyat, kebanyakannya dari Pakatan Rakyat ke atas Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) diadakan di dapati 48 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 47 membantah. BN menang dengan kelebihan 1 undi. Ada beberapa MP PAS tidak hadir.

Nah kini bagaimana? Hendak diambil tindakan atau pun tidak, sedang BN mahu ambil tindakan ke atas wakil rakyat mereka! Sedangkan juga, alasan-alasan YB-YB dari PAS ini seperti ada nak memperbodohkan ahli-ahli PAS dan para pengundi atau ada dari kalangan yang bodoh dah terlepas jadi wakil rakyat PAS?

Nak hadapkan YB-YB kita ke Lembaga Disiplin? Persoalan lain timbul pula. Sedangkan, izinkan saya ulangi Lembaga Disiplin PAS itu sendiri bias dan dipersoalkan kesahihan pembentukannya! Bacalah.

InsyaAllah, GB yakin GB betul.

Artikel Penuh

MP PAS Syok Sendiri?

Lima MP daripada PAS tidak berada di Dewan Rakyat ketika undian belah bahagi bejet sulung Najib dijalankan. BN menang 66 – 63. Kalau kelima-limanya hadir, BN tewas 68 – 66.

Pokok Sena kata dia ke Jakarta kerana urusan peribadi dengan makluman awal kepada Presiden. Hulu Langat kata dia di Sungai Besi menggantikan Nizar dalam satu program Pakatan Rakyat. Kuala Krai kata dia ada program yang telah diatur lebih awal di kawasannya dan makluman awal kepada Presiden juga telah dibuat.

Menurut Harakahdaily, Parit Buntar dan Baling belum dapat dihubungi.

Seorang blogger menyifatkan MP BN yang gagal hadir sebagai ‘masih diulit mimpi’. Ungkapan itu sesuai untuk MP BN kerana mereka berkuasa dan tidak menjangka apa yang telah berlaku itu boleh berlaku.

Apa pula ungkapan yang sesuai untuk MP PAS secara khusus? Tak mungkin MP PAS turut diulit mimpi. Kalau bukan, apa dia?

Saya tidak marahkan mereka berlima dan saya mungkin boleh faham keadaan mereka. Cuma saya memerlukan jawapan berterus-terang. Telus, kata orang sekarang.

Ya, rakyat yang mengundi PAS / Pakatan Rakyat juga inginkan jawapan berterus-terang. Bukan jawapan umum seperti urusan peribadi, ganti orang atau program yang telah diatur lebih awal.

Kenapa perlu berterus-terang? Ya, kerana jawapan umum memungkinkan soalan tambahan, macam di Dewan Rakyat juga.

Soalan tambahan saya, adakah urusan peribadi itu tidak boleh ditangguh langsung, ditelan mati emak diluah mati bapa?

Gantikan orang dan program di kawasan? Tidakkah penganjur di kedua-dua majlis itu boleh difahamkan bahawa kehadiran ke parlimen pada tarikh dan saat itu sangat penting? Ini mati hidup kerajaan BN.

Saya fikir lebih mudah memberi penjelasan kepada mereka yang terlibat dengan majlis itu sahaja berbanding sekarang, terpaksa memberi penjelasan kepada seluruh pengundi PAS / PR dan rakyat Malaysia yang ingin melihat BN tumbang.

Tiga orang telah memberi jawapan umum. Kami menunggu penjelasan Baling dan Parit Buntar pula. Tapi ingat, kami tidak mahu penjelasan itu hanya sampai ke telinga Presiden saja, atau ketua pembangkang saja. Kami mahu penjelasan itu sampai juga ke telinga kami.

Dan, ingat kalau jawapan itu masih jawapan umum, kami akan kemukakan soalan tambahan. Bukankah itu amalan ketika berbahas di Dewan Rakyat?

Apa pun, apa yang terhidang sekarang adalah bubur bukan lagi nasi. Peluang ini saya percaya tidak akan berulang lagi. Pada masa akan datang, BN tentu lebih berhati-hati.

Kecuali, MP BN masih bermimpi lagi. Cuma diharapkan, ketika MP BN diulit mimpi janganlah pula MP PAS ‘syok sendiri’. -Ust Zolkharnain Abidin


Artikel Penuh

Polis Tidak Amanah, Tuntutan Bapa Nurin Pinda Penrnyataan Didengar Rabu Depan

Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar pada Rabu depan permohonan Jazimin Abdul Jalil, bapa kanak-kanak yang diculik dan dibunuh, Nurin Jazlin, bagi meminda pernyataan tuntutannya untuk turut menamakan Lans Koperal Amran Arifin sebagai defendan dalam kes saman itu.

Tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar, Wan Nor Salina Wan Abdullah dalam kamarnya selepas perkara itu dikemukakan di hadapannya untuk sebutan hari ini.

Ini berikutan pengakuan oleh defendan dalam kes saman itu -- Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia -- dalam pernyataan pembelaan mereka bahawa gambar-gambar bedah siasat Nurin diedarkan oleh Amran.

Jazimin, 35, seorang pekerja di syarikat keselamatan, mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan atas dakwaan cuai berikutan pengedaran gambar-gambar bedah siasat anak perempuannya itu dalam internet.

Beliau memohon gantirugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, dengan mendakwa gambar-gambar berkenaan bersifat sulit serta peribadi dan bukan untuk tatapan umum tetapi hanya untuk tujuan penyiasatan kes Nurin. - Bernama

Ulasan GB

Adalah tidak wajar samasekali tindakan PDRM menyebarkan gambar-gambar bedah siasat Nurin yang sepatutnya diklassifikasikan sebagai sulit.

Ini bererti rakyat mempunyai hak untuk tidak bekerjasama dengan polis jika demikian buruknya sikap dan perangai polis di negara ini.

Artikel Penuh

Mujahid Ada Cuti Sakit.

Harakahdaily melaporkan seorang lagi Ahli Parlimen PAS membuat penjelasan hari ini berhubung ketidakhadirannya sewaktu undian menolak Bajet 2010 pada jam 11 malam Isnin lalu.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusof Rawa pagi tadi berkata, rasa tidak sihat menyebabkan beliau tidak berupaya menunggu di Dewan Rakyat sehingga sesi penghujahan pada sebelah malam selesai.

"Jam 3 petang hari itu, saya dah keluar Dewan (Rakyat)...sebab rasa sangat tak sihat (sakit) dan tak dapat nak sertai pengundian itu," jelasnya.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, beliau mendapat cuti sakit sejak seminggu yang lalu namun berusaha juga untuk tidak meninggalkan persidangan dewan rakyat.

Namun gangguan kesihatan yang dihadapi beliau menyebabkab beliau terpaksa pulang untuk berehat.

Beliau turut menjelaskan bahawa hasrat Ahli Parlimen Pembangkang mahu menolak bajet sulung Datuk Seri Najib itu diberitahu kepadanya pada sekitar jam 5 petang.

Pun begitu, beliau dalam nada kesal, kecewa kerana tidak dapat menyertai undian tersebut.

Ekoran itu, beliau turut memohon maaf kepada suluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat di kawasan parlimennya sendiri.


Ujarnya lagi, Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut dihubungi pagi tadi untuk menjelaskan sebab ketidakhadirannya itu.

Semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr. Che Rosli Che Mat tampil menjelaskan sebab ketidakhadiran masing-masing pada waktu pungutan suara tersebut dibuat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr. Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Baling masih belum dapat dihubungi bagi menjelaskan sebab-musabab ketidakhadiran masing-masing.

Isnin lalu, Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak diterima dengan majoriti tiga undi sahaja, iaitu 66 menyokong dan 63 membangkang.

Selain 5 Ahli Parlimen PAS terbabit, 15 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari PKR dan DAP turut dikenal pasti tidak hadir pada sesi pengundian tersebut.

Manakala, seramai 7O Ahli Parlimen dari BN turut gagal menyertai sesi pungutan suara itu.

Kegagalan kesemua ahli parlimen pakatan rakyat hadir pada proses pengundian tersebut dikritik hebat oleh media khususnya blog yang mendakwa mereka penyebab Pakatan gagal menolak bajet Najib.

Artikel Penuh

Siapa Sebenarnya Yang Lantik J/K Disiplin Parti?

Peti email GB terus-terusan dipenuhi dengan pertanyaan dan persoalan mengenai Pengerusi Lembaga Tatatertib PAS yang kini sedang menyiasat PAS Selangor yang seperti yang dilaporkan oleh Harakahdaily di atas arahan Tuan Presiden.

Adalah menjadi sesuatu keanehan bagaimana arahan boleh diberikan oleh Presiden kepada satu jawatankuasa yang mengikut Perlembagaan PAS, J/K Disiplin ini sepatutnya dilantik oleh Majlis Syura Ulamak.

GB telah mempersoalkan hal ini di dalam satu tulisan di blog Kelab GB tetapi tidak mendapat respons kerana masin-masing tergamam mengenai persoalan "siapa sebenarnya yang telah melantik Jawatankuasa Disiplin PAS?".

Tuan Ibrahim Tuan Man pula nampaknya telah acapkali mengeluarkan "kenyataan-kenyataan yang bias" yang tidak menampakkan beliau mempunyai kredibiliti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin. GB telah juga mengulasnya di SINI.

Diperturunkan kembali tulisan GB yang lepas untuk masing-masing melakukan penilaian supaya kebenaran dan keadilan itu dapat ditegakkan seperti sepatutnya.



Lembaga Disiplin PAS Ikut Arahan Siapa?

Saya telah diminta pandangan untuk membincangkan isu mengenai Lembaga Disiplin Parti Islam SeMalaysia yang mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS.

Lembaga Disiplin PAS telah mengadakan persidangan buat pertama kalinya pada 31 Oktober lalu yang dilaporkan memulakan siasatnnya terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini mempunyai lima anggota yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Ustadz Tuan Ibrahim Tuan Man. Sementara jawatankuas yang lain terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

Lembaga Disiplin dikatakan akan akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil setelah siasatan ke atas isu PAS Selangor itu selesai.

Persoalan kini, Lembaga Disiplin ini dibentuk oleh parti dengan kuasa pihak mana, mendengar dan mendapat arahan dari siapa serta perlu membuat cadangan kepada pihak mana.

Berdasarkan Perlembagaan Parti Islam SeMalaysia, Fasal 7 Ceraian 3(c) yang menerangkan hal Hukum dan Kekuasaan Majlis Syura Ulama berbunyi:

Memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS dan melantik ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 75 Perlembagaan ini.

Fasal 75(2)

Sebuah Jawatankuasa Tatatertib hendaklah ditubuhkan di peringkat pusat. Adapun Perhubungan Negeri, Kawasan-kawasan, Cawangan-cawangan dan Dewan-dewan bolehlah melaporkan apa-apa tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang didapati melanggar Tatatertib parti kepada Setiausaha Agung atau Pejabat Agung untuk tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tatatertib itu.

Pasal 75(3) berbunyi

Jawatankuasa Tatatertib itu hendaklah terdiri dari:
(a) Seorang Pengerusi
(b) Seorang Setiausaha, dan
(c) Tiga Ahli Jawatankuasa.

Fasal 75(4)

"MAJLIS SYURA ULAMAK", menurut kuasa yang diperuntukkan kepadanya dalam Fasal 7(3)(c) Perlembagaan ini adalah diberi kuasa melantik semua ahli-ahli Jawatankuasa Tatatertib dari masa ke semasa.

Fasal 75(5)

Kuasa Jawatankuasa Tatatertib itu ialah
(a) Memberi amaran
(b) Melucutkan hak-hak dalam parti
(c) Menggantung keahlian
(d) Memecat dari menjadi ahli

Fasal 75(6)

Seseorang ahli yang tidak berpuashati terhadap sebarang tindakan dan keputusan yang dikenakan ke atasnya oleh Jawatankuasa ini bolehlah membuat rayuan bertulis kepada "MAJLIS SYURA ULAMAK" dalam tempoh tidak lewat daripada enam puloh hari dari tarikh tatatertib itu diambil terhadapnya. Keputusan "MAJLIS SYURA ULAMAK bersabit dengan rayuan itu adalah muktamad.

Fasal 77(7)

"MAJLIS SYURA ULAMA" dalam keadaan tertentu dalah berhak mengambil apa-apa tindakan tatatertib dengan sendirinya tanpa menghiraukan Jawatankuasa Tatatertib ke atas mana-mana ahli PAS yang diadukan kepadanya oleh mana-mana pihak yang tersebut dalam ceraian (2) Fasal ini. Keputusan dan tindakan "MAJLIS SYURA ULAMAK" itu adalah muktamad.

Senario yang ada kini nampaknya tidak memenuhi tuntutan seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan.

Menurut Perlembagaan PAS, hal-ehwal tatatertib(disiplin) adalah di bawah urusan Majlis Syura Ulamak yang diberi kuasa untuk menubuhkan Lembaga Disiplin yang dianggotai lima orang jawatankuasa.

Namun, semenjak isu Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali timbul dan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat bagi membincangkan hal itu, Lembaga Disiplin seperti sudah lari dari peranannya yang sepatutnya menerima arahan dari Majlis Syura Ulamak, bukan dari pihak lain. Ini adalah kerana pembentukannya sepertimana yang ditunjukkan di atas dilakukan oleh Majlis Syura Ulamak. Jika perlantikan Jawatankuasa Disiplin yang ada pada hari ini bukan dari Majlis Syura Ulama, dengan sendirinya Lembaga Disiplin yang ada adalah sebuah jawatankuasa yang haram, batal dan tidak sah.

Justeru itu laporan harakahdaily bertarikh 30 Oktober 2009 bercanggah dengan Perlembagaan parti:

Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor.

Arahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam.


Tidak ada arahan sepatutnya boleh dilakukan oleh Presiden atau Jawatankuasa Pusat atau mana-mana pihak ke atas Lembaga Disiplin kerana Lembaga Disiplin adalah bebas dari sebarang tekanan, manipulasi, eksploitasi, arahan atau apa-apa bentuk suruhan dari mana-mana pihak kecuali Majlis Syura Ulamak.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa PAS Pusat boleh mengambil tindakan berdasarkan Fasal 23(7)(g) tanpa melibatkan Lembaga Tatatertib

Menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti, dan berkuasa menggantung dan membubarkan serta mengambil alih mana-mana Badan Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan dengan melantik satu Jawatankuasa tadbir sementara yang akan mempunyai kuasa sebagaimana sesebuah Jawatankuasa yang diambil menurut Perlembagaan ini untuk tempoh masa yang ditentukan.

Fasal 75 (2) yang menyatakan "apa-apa tindakan dan perbuatan ahli-ahli yang didapati melanggar Tatatertib parti kepada Setiausaha Agung atau Pejabat Agung untuk tindakan sewajarnya oleh Jawatankuasa Tatatertib itu" bukan memberi kuasa Setiausa Agung untuk mengarahkan tetapi adalah tugas Setiausaha Agong memaklumkan kepada Lembaga Disiplin parti.

Dari Perlembagaan PAS, jelas, bahawa Majlis Syura Ulamak yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am adalah kuasa tertinggi di dalam parti yang bertakluk (bukan tertakluk) ke atas Lembaga Disiplin. Lembaga Disiplin PAS perlu mematuhi hal ini.


Kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin yang menyatakan "lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil" adalah tidak betul kerana mengikut perlembagaan, cadangan hendaklah dihantar terus kepada Majlis Syura Ulamak, bukan Jawatankuasa PAS Pusat kerana nantinya sebarang rayuan adalah dilakukan kepada Majlis Syura Ulamak berdasarkan kepada Fasal 75(6).




Jawatakuasa Disiplin Tidak Boleh Bias

Dato Tuan Ibrahim, selaku Pengerusi Lambaga Tatatertib (meskipun GB sehingga kini masih belum mendapat jawapan tentang pembentukan Lembaga tatatertib samada ia memenuhi kehendak Perlembagaan Parti seperti GB nyatakan di SINI) sepatutnya tidak mengeluarkan perkataan ini:

"Memang ada tuduhan, tapi tuduhan itu tak semestinya benar,"

Sebab saya menyatakan ia tidak boleh di keluarkan, awal-awal lagi ia menunjukkan ciri bias. Kerana ianya boleh ditempelak, "tuduhan itu tak semestinya salah" dan dengan sendirinya kredibiliti dan integriti Lemabaga tatatertib boleh dipersoalkan lantarannya.

Senario yang hampir sama pernah berlaku semasa Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), yang setelah menerima surat pengosongan DUN Changkat Jering dan Behrang mengeluarkan kenyataan berikut:

"Saya telah terima surat dari Speaker Perak, tetapi saya juga telah menerima surat bantahan dari ADUN-ADUN berkenaan".

Sedangkan surat-surat dari ADUN-ADUN berkenaan sepatutnya tidak dilayan kerana tiada peruntukan undang-undang untuk Pengerusi SPR berbuat demikian.

Hasilnya, keputusan tidak berpihak kepada kebenaran yang sepatutnya pilihanraya kecil diadakan, tetapi berpihak kepada konspirasi untuk mempastikan kedua-dua kerusi itu kekal kepada BN.

Jawapan yang hampir sama diberikan oleh Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) sewaktu ditanya mengenai kes rasuah bekas MB Selangor, Mohd Khir Toyo.

"Memang ada laporan tentang kes rasuah berkenaan, tetapi tiada ada bukti kukuh untuk mendakwanya".

Dan Mohd Khir Toyo bebas lepas.

Itu dua contoh "hakim" yang tidak berwibawa. Itu contoh "hakim" yang menyalahgunakan kuasa. Itu contoh "hakim" yang khianat dan durjana.

Seorang hakim tidak boleh berpihak. Seorang hakim perlu adil. Seorang hakim perlu menghukum dengan kebenaran dan keadilan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Hakim itu ada tiga macam, Satu di syurga dan dua di neraka:
1) Yang di syurga adalah hakim yang tahu kebenaran dn ia menghukum dengan kebenaran tersebut
2) Seorang lelaki yang tahu kebenaran tetapi ia menyimpang daripada kebenaran itu, maka ia ke neraka
3) Seorang lelaki yang menghukum manusia tanpa ilmu, maka ia ke neraka.
(Abu Dawud, Tarmidhi, Ibn Majah)

Sebelum ini, GB menyatakan bahawa Perlembagaan PAS menetapkan bahawa Jawatankuasa Tatatertib perlu dilantik oleh Majlis Syura Ulamak.

Jika jawatankuasa yang ada tidak dilantik oleh Majlis Syura Ulamak, tetapi oleh Presiden dan sebagainya, dengan sendirinya ia terbatal dan tidak berkuatkuasa.


Majlis Syura Ulamak sepastinya mengetahui bahawa Jawatankuasa Disiplin yang hendak dilantik perlu mempunyai kriteria seseorang itu mempunyai 'ilmu (dan sebaik-baiknya ada pengalaman) di dalam bidang perundangan dan penghakiman bersuaian dengan hadith yang dinukilkan tadi.

Ini diperkuatkan dengan satu hadith yang lain:

“Apabila sesuatu urusan itu diserahkan bukan kepada ahlinya, maka nantikanlah kehancuran” – (Bukhari)

Ketelitian pemilihan jawatankuasa disiplin atau tatatertib perlu diberikan perhatian serius oleh parti agar kebenaran dan keadilan itu benar-benar ditegakkan.

Saya dengan ini meminta supaya persoalan mengenai ahli jawatankuasa Lembaga Tatatertib disemak semula supaya melantik mereka yang benar-benar berkeahlian memegang jawatan itu sebelum PAS hancur binasa kerananya sesuai dengan amaran hadith kedua tadi.


Mohon pencerahan dari pihak tertinggi parti sebelum sbarang kesilapan (jika ada) terlajak jauh. PAS perlu diselamatkan dari tidak mengikuti Perlembagaan Parti.

Artikel Penuh

Pelakon Gerak Khas "Detektif Lim" Dijatuhi Hukuman Kerana Curi Buku

Pelakon drama bersiri popular “Gerak Khas”, Farid Amirul Hisham Abdullah yang memegang watak "Detektif Lim" dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 selepas didapati bersalah terhadap tuduhan mencuri dua buah buku di Mid Valley Megamall, di sini Mac lepas.

Majistret Mohd Faizi Che Abu membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membutikkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pelakon berusia 43 tahun itu.

Mohd Faizi mengarahkan Farid Amirul menjalani hukuman itu berkuatkuasa hari ini, dan penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu, namun beliau kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan syarat ikat jamin terdahulu iaitu RM1,500 dinaikkan kepada RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pelakon itu dihadapkan ke mahkamah selepas didakwa mencuri sebuah buku bertajuk "Sistine Secrets" berharga RM89.90 dan "Decoding The Heavens" berharga RM105 di Kedai Buku MPH Bookstore, Mid Valley Megamall, pada 7.15 malam 27 Mac lepas, dan dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mohd Faizi semasa menyampaikan keputusan penghakiman berkata mahkamah memilih untuk tidak mempercayai keterangan tertuduh berdasar dua penilaian iaitu kes ini hanya berbentuk penafian semata-mata.

"Kes ini juga tidak menunjukkan kredibel kerana tertuduh yang sering menyatakan dia tidak ingat tempat kejadian walaupun kejadian berlaku pada penghujung Mac lalu. Sepatutnya tertuduh masih boleh mengingati kejadian kerana ia merupakan pengalaman buruk tertuduh," katanya.

Mohd Faizi berkata antara isu yang ditimbulkan pihak pembelaan sepanjang prosiding perbicaraan adalah ketiadaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ketiadaan gambar rajah kasar tempat kejadian, dan ia tidak menunjukkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

"Mahkamah berpendapat isu yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan tidak mencacatkan kes pendakwaan dan keterangan saksi awam yang melihat kejadian itu tidak bermotifkan jahat dan buruk terhadap tertuduh," kata Mohd Faizi.

Peguam bela Nor Azri Mohd Ariff yang mewakili tertuduh memohon kepada mahkamah mengambil kira anak guamnya itu kehilangan banyak tawaran berlakon di samping anak guamnya itu mengalami gangguan fikiran sepanjang kes itu dibicarakan.

Terdahulu, pendakwaan yang diwakili Mohd Faizal Abdul Rahman memohon kepada mahkamah agar tidak memandang status tertuduh iaitu sebagai pelakon, dalam mengenakan hukuman yang berat. — Bernama

Artikel Penuh

Sekali Lagi Keputusan Mahkamah Tinggi Tidak Ada Harga

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat bagi tujuan memerangi jenayah rasuah.

Dalam membenarkan rayuan SPRM hari ini, mahkamah itu mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya soal siasat SPRM perlu dilaksanakan semasa waktu pejabat, iaitu dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah memutuskan bahawa seksyen 30 (3)(a) Akta SPRM tidak menetapkan sebarang tempoh masa bagi SPRM menyoal siasat saksi.


Ulasan GB

Jika demikian sistem kehakiman di dalam negara, adalah terlebih baik dihapuskan sahaja peranan Mahkamah Tinggi dan di pusatkan segala-galanya ke Mahkamah Rayuan.

Kita tidak tahu entah berapa ramai lagi yang hendak di"benghockkan" oleh SPRM.

Artikel Penuh

Maal Hijrah : PAS Perlu Bersedia Menerima Perubahan

Dakwah Islam adalah dakwah yang meliputi semua persoalan hidup dan kehidupan manusia. Menyentuhi masalah aqidah, menerangi bashirah (pandangan), serta mampu memperlihatkan kepadanya yang haq itu haq dan yang batil itu batil dan membawa mereka untuk mengikuti kebenaran dan menjauhi kebatilan.

Tugas dakwah adalah menyeru manusia agar tetap berada dalam fitrahnya yang hanif, dan tetap mematuhi hukum Allah swt. Untuk memimpin manusia kepada jalan fitrah ini, menuntut suatu uswah hasanah (teladan yang baik). Diperlukan metodologi yang memiliki kebijaksanaan dalam mengajak manusia mengimani (mengikuti peraturan dan hukum) Allah dan mengingkari segala macam bentuk thaghut, sehingga dapat mengeluarkan mereka dari kegelapan (jahiliyah) menuju nur Islam yang penuh rahmat.

Keberhasilan sebuah dakwah banyak ditentukan oleh keutuhan sesebuah organisasi dakwah itu sendiri. Organisasi yang tersusun rapi dengan misi dan visinya serta pembahagian tugas yang jelas, akan memberikan impak yang besar bagi keberhasilan sebuah dakwah.

Menurut Dr. Fathi Yakan, keruntuhan dan ketempangan yang sering terjadi di dalam perjalanan dakwah disebabkan oleh beberapa faktor seperti kepimpinan, personaliti dan tekanan semasa.

Sebenarnya, sesebuah organisasi dakwah yang mengalami kelesuan dan gagal mengajak masyarakat untuk tetap berada dalam orbit peraturan Allah swt. disebabkan kerana kelemahan dalam pengurusan organisasi, terutama dalam pengagihan tugas dan fungsi yang tidak jelas. Selain daripada itu, faktor aliran komunikasi yang tidak jelas antara kepimpinan dan anggota organisasi juga menjadi penyumbang kepada kepincangan organisasi dakwah.

Pelaksanaan program yang tidak dilandasi dengan pembahagian kerja yang teratur akan mengakibatkan tertumpunya kesibukan kepada orang-orang tertentu sahaja sedangkan masih ada kekosongan peranan pada sebahagian besar tenaga yang lainnya. Selain itu, berlaku juga keciciran dalam mengoptimumkan potensi anggota kerana tidak mendapat perhatian dari kepimpinan organisasi, kebijakan bertindak yang tidak tepat, tidak adanya inventori keahlian para anggotanya mengikut kepakaran dan tingkat mustawa pentarbiahan yang terperinci, adanya dilema dalaman organisasi dalam menentukan halatuju organisasi, sikap ahli organisasi yang tidak peka kepada perkembangan organisasi dalam menghadapi tuntutan perubahan semasa, pemimpin yang lemah dan kurang memiliki kemampuan di dalam mempertahankan dan mengembangkan organisasi sesuai dengan tuntutan zaman dan semasa. Kesemua di atas merupakan penyebab kepada kelesuan bahkan petunjuk kepada kelembapan perkembangan sesebuah organisasi.

Menurut Dr. Fathi Yakan dan Dr. Sayid Muhammad Nuh dalam pemerhatian mereka terhadap pasang surut gerakan organisasi Islam juga dipengaruhi oleh beberapa faktor individu dalam organisasi, iaitu:

1. Faktor Ujian di dalam organisasi dakwah dan kehidupan pendakwah merupakan cubaan yang getir. Al Quran telah menjelaskan kepastian ujian di dalam kehidupan seorang mukmin untuk menjernihkan saf dan perbezaan kualiti, serta sebagai penduga kedalaman iman.

“Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al Ankabut:1-2)

“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad: 31)

2. Tekanan pihak keluarga dan kesibukan dalam kerjaya. Permasalahan yang sering dihadapi oleh mereka yang berkecimpung di medan Islami adalah dari pihak keluarga seperti isteri, suami, anak-anak dan ibu bapa. Manakala dalam pembinaan kerjaya, para dai’e telah disibukkan dengan pelbagai misi dan tugasan kerjaya sehingga tidak mampu memberi masa dan tenaga yang semaksimanya kepada tugasan dakwah. Impaknya dalam dua perkara di atas, iaitu faktor kekeluargaan dan kerjaya telah mengesampingkan keutamaan amal dalam menjayakan misi dan visi dakwah organisasi. Mendukacitakan lagi apabila prestasi mereka lebih kehadapan dan profesional dalam urusan kerjaya dan keluarga sebaliknya terkebelakang dan tidak profesional dalam urusan dakwah Ilallah. Sedikit sekali yang dapat melepasi dari faktor ini sehingga dapat dihilangkan rasa takut yang selalu mendominasi dada para da’ie, firman Allah swt yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (At Taubah: 24)

3. Penyakit futur. Futur ialah suatu penyakit yang dapat menimpa sebahagian aktivis dan akan menimpa mereka secara praktikal (dalam bentuk perbuatan). Tingkatannya yang paling rendah berupa kemalasan, menunda-nunda atau melambat-lambatkan. Sering memberi alasan bahawa tugas dakwah itu sukar dan tidak mampu untuk melaksanakannya, meminimakan penglibatan diri dalam misi dakwah organisasi atau sekadar menawar diri untuk membuat tugasan yang paling mudah sahaja. Sedangkan kemuncak penyakit futur ini adalah berhenti sama sekali setelah sebelumnya rajin dan bersemangat.

Firman Allah swt. yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti.” (Al-Anbiya’: 19-20)

Nabi saw. bersabda:

“Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu, kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri yang merasa bosan. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah swt. ialah uang dilakukan secara rutin meskipun hanya sedikit.” (Muttafaqa’alaih).

“Bagi tiap-tiap amal ada masa-masa rajinnya, dan tiap-tiap masa rajinnya itu ada kehangatannya. Barangsiapa yang kehangatannya itu kepada sunnahku, maka sesungguhnya ia telah memperolehi petunjuk; dan barangsiapa kehangatannya kepada selain sunnahku, maka sesungguhnya ia telah tersesat.” (H. R. Al-Bazzar)

4. Cabaran rakan sekitar. Seseorang muslim dibesarkan di lingkungan keluarganya, kemudian berpindah tempat kerana faktor pendidikan atau pekerjaan dan akan bertemu dengan rakan-rakan yang baru. Di sinilah awal terjadinya tarikan jahiliah dan disini jugalah bermulanya pertentangan jiwa. Faktor ini biasanya menguji kepada generasi muda, golongan ini di peringkat awal menerima fikrah dan tanggungjawab dakwah di kampus, aksi mereka begitu bersemangat ketika zaman kampus, merekalah penggerak dan aktivis dakwah kampus. Namun apabila beralih ke medan pekerjaan, mereka ketinggalan dalam gerabak keretapi dakwah, sedangkan potensi, kekuatan dan semangat mereka amat diperlukan oleh organisasi dakwah. Hal ini terjadi apabila mereka tidak bijak memilih rakan taulan dan mereka tidak bijak dalam mengelola waktu dalan berkerjaya. Apabila rakan taulannya di tempat kerja adalah berakhlak baik maka ia akan baik juga, namun apabila sebaliknya maka ia mampu menjadi orang yang hina dina. Nabi SAW. bersabda yang bermaksud:

”Seseorang itu mengikuti keagamaan temannya, kerana itu hendaklah kamu memperhatikan orang yang akan kamu jadikan teman.” (H.R. Abu Daud)

5. Tidak sistematik dalam melakukan sesuatu, baik yang dilakukannya sendiri mahupun bersama-sama. Ramai aktivis baik secara individu mahupun dalam organisasi yang melakukan kegiatan dakwahnya secara sambilan, tidak sistematik dan tidak teratur. Sehingga mereka mendahulukan masalah yang tidak penting dan mengakhirkan (bahkan mengabaikan) yang prinsip.

Penglibatan diri secara sambilan dalam misi dakwah organisasi serta melaksanakan amanah secara tidak sistematik ini akan menyebabkan jalan perjuangan menjadi beban dan tidak berkembang. Kesan lanjutnya mereka ini akan mudah lelah dan bosan. Barangkali dari sinilah kita mengerti rahsia wasiat Rasulullah saw. kepada Mu’adz bin Jabal ketika baginda mengirimnya ke Yaman. Sabda Nabi saw:

”Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum ahli kitab, maka ajaklah mereka untuk bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa aku adalah Rasul Allah. Jika mereka telah mentaatimu dalam hal ini, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah memfardhukan kepada mereka zakat yang dipungut dari orang-orang kaya di antara mereka, lantas dikembalikan (diagih-agihkan) kepada orang-orang fakir mereka. Jika mereka telah mematuhi hal ini, maka janganlah engkau merosak harta mereka yang baik-baik, dan takutlah engkau akan doa orang yang teraniaya kerana antara doanya dengan Allah tidak ada penghalang.” (Muttafaqa’alaih)

Hadis ini merupakan kaedah pokok melaksanakan urusan dakwah secara sistematik, terancang, sesuai dengan keutamaan dan tingkat kepentingannya yang menuntut kecermatan dan ketelitian. Sikap Mu’adz bin Jabal yang faham akan maksud dan panduan yang diberikan oleh Baginda Rasul saw, menjadikan dakwah beliau berjaya di bumi Madinah Al Munawwarah. -Mohd Razali Maarop

Ulasan GB

PAS kini sedang melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik sehingga timbul fenomena yang dilihat seperti ianya digoncang sekuat-kuatnya bagi melihat keutuhannya untuk mengharungi cabaran di era baru.

Zaman transisi dari sebuah organisasi dakwah yang sifatnya begitu tradisional kepada sebuah organisasi yang progresif untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, ledakan teknologi maklumat, diikuti dengan kehadiran golongan masyarakat yang berdasarkan pengetahuan (k-community) dan seumpamanya memerlukan perubahan kepimpinan dan struktural.

Ia sekaligus menyaksikan sudah berlalunya zaman "zon selesa" untuk pemimpin dan organisasi parti untuk sekadar mempertahankan status quo.

Tulisan diatas GB bawa untuk sama-sama kita renungkan mengenai kepincangan yang sedang dialami oleh PAS kini, sebagai satu bahan penelitian untuk menerima seadanya apa yang berlaku kini sebagai satu "sunatullah" untuk mentransformasikan PAS kepada sebuah organisasi dakwah dan politik yang lebih berjaya.

Suka atau tidak suka, perubahan pasti berlaku. Tidak ada dua hari yang bernar-benar serupa pada manusia dan sekalian alam, begitulah kepada PAS. Kesemua faktor perubahan berlaku dengan mengakui adanya nilai konstans - iaitu dasar perjuangan yang tetap.

Hari ini tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi lagi. Kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan sesbuah organisasi dan kepimpinannya diteliti, dibedah, disiasat, dianalisa dan didokumentasikan di bilik-bilik kuliah universiti di dalam pelbagai matapelajaran di dalam bentuk "case study" dan PAS tidak terlepas darinya.

Malah dalam beberapa keadaan ia kini menjadi desertasi untuk seseorang bergelar sarjana dan pemegang PhD.

Zaman untuk merajuk, zaman untuk bersembunyi, zaman untuk mempertahankan sikap "futur" telah tersangat semalam.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi. Mereka yang berdiam diri terhadap kepincangan dan berrahsia untuk menutup kelemahan dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.

Tanpa melupai fakta bahawa sebagai sebuah organisasi dakwah, PAS akan menghadapi tribulasi-tribulasi, tetapi di dalam bentuk baru. PAS akan menempuh gelombang tribulasi Badar, Uhud dan Khandaqnya sendiri, malah PAS akan mengharungi "Perjanjian Hudaibiyah" dan "fathul Makkah"nya sendiri.

Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan yang futur (lembab). Perlu menerima hakikat bahawa struktur yang ada boleh dirombak bila-bila masa pabila ia dilihat sudah tidak mampu menatangi zamannya. Kitar hayatnya (Life cycle) akan menetapkan bahawa proses kematangan parti tidak lagi menunggu pasang-surut sokongan terhadapnya.

Sebagai entiti politik zaman baru juga PAS perlu sentiasa melakukan penyelidikan dan analisa SWOT (Strength, Weakness, Opportunities, Waknessess)nya sendiri. Perlu melakukan matriks pengurusan dan kajian "market share" yang diperolehi untuk mengetahui kedudukan dan status quo dirinya berbanding dengan parti-parti politik lain.

Zaman untuk mendengar ceramah retorik sudah berlalu. Contohnya, kelmarin Datuk Mahfuz Omar baru menempelak dan mendesak Ariffahmi untu meletak jawatan tetapi pada hari ini. Mahfuz sendiri boleh ditempelak untuk meletakkan jawatan kerana mementingkan urusan peribadi daripada parti. Dan langkah terbaik bagi Mahfuz ialah: senyumlah menerima kritikan itu, akur dan berterima kasih kerana peringatan serta dalamasa yang sama perbaiki diri. Kerana yang mengkritikmu itu adalah cerminan bagi dirimu sendiri. Kelmarin engkau menempelak, hari ini engkau ditempelak. Yang yang menempelak itu, "hakikat"nya adalah dari Tuhanmu, yang bukan membencimu tetapi mengasihmu. Begitulah juga pengajaran untuk pemimpin parti yang lain.

Tertinggallah mereka yang masih menguleti mimpi untuk menjadi "kerajaan yang dinanti" jika masih bertegang urat, menelan pil khayal untuk bermakian-makian menjadi penyokong yang akhinya membawa parti rebah ke bumi.

Artikel Penuh

Krisis Perebutan Takhta Kelantan : Tg Temenggong Cabar Pemangku Raja

Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra yang minggu lalu menang dalam kes saman terhadap isterinya Manohara Odelio Pinot, seorang bekas model yang kini berada di Indonesia, kembali ke mahkamah.

Kali ini, Tengku Fakhry mencabar kesahihan tindakan kekandanya Tengku Muhammad Faris Petra yang melucutkannya daripada Majlis Perajaan Negeri.

Majlis Perajaan Negeri bertanggungjawab untuk menentukan bakal pengganti Sultan Kelantan dan sama ada wujudnya kekosongan ekoran ketiadaan pemerintah untuk tempoh yang lama.

Ia terkandung dalam perlembagaan negeri Kelantan.

Difahamkan Tengku Fakhry, 31, menerima surat dilucutkan kedudukan yang bertarikh 16 Sept 2009 daripada Tengku Faris.

Tengku Muhammad Faris Petra selaku Tengku Mahkota Kelantan, kini merupakan Pemangku Raja Kelantan susulan kegeringan yang dihadapi Sultan dan dirawat di Singapura.

Tengku Faris dilantik sebagai Pemangku Raja Mei lalu sehingga Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra sembuh dari kegeringan.

Surat itu menyatakan bahawa Tengku Fakhry telah dilepaskan daripada tugasnya sebagai salah seorang anggota Majlis Perajaan Negeri.

Pada Ahad lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Manohara supaya kembali taat dan membayar semula hutang berjumlah RM1,112,250 kepada Tengku Fakhry.

Hakim Syarie Mohd Yusof Awang berkata perintah itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja Tengku Fakhry melafazkan sumpah “Yamin Istizhar” (sumpah jelas) di mahkamah itu pada 3 Jan depan.

Manohara yang memakai gelaran Cik Puan Temenggong, juga perlu membayar jumlah hutang itu secara sekali gus dalam tempoh 30 hari selepas selesai sumpah berkenaan disempurnakan.

Turut dinamakan dalam tindakan undang-undang terbaru Tengku Fakhry ini ialah ketua setiausaha negeri, mufti negeri, kerajaan Kelantan dan empat lagi kerabat diraja.

Setiausaha kerajaan negeri juga merupakan setiausaha majlis tersebut.

Tengku Fakhry mendakwa pelantikannya dalam majlis tersebut adalah sah kerana ia dibuat oleh ayandanya.

Kemudian beliau dimaklumkan bahawa pelucutan kedudukannya dibuat oleh Tengku Faris, 35.

Tengku Fakhry mengemukakan permohonan agar keputusan kekandanya itu diketepikan atas alasan Pemangku Raja itu tidak boleh membuat keputusan sedemikian dan ia hanya boleh dilakukan oleh Sultan sendiri.

Tengku Faris dianggap bertindak di luar kuasanya dan sebagai Tengku Mahkota Kelantan, kes melibatkan baginda itu boleh dikaji oleh mahkamah rayuan.

Tengku Fakhry diwakili oleh peguam K. Shanmuga.

Tengku Fakhry juga memohon untuk mengetepikan keputusan Tengku Faris melantik Datuk Hashim Datuk Yusoff, Datuk

Tengku Salwah Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Haji Che Mohd Rahim Jusoh and Kol. Dr. Mohammad Razin Kamarulzaman (responden keempat hingga kelapan) sebagai anggota Majlis Perajaan Negeri atas alasan pelantikan mereka tidak konsisten dengan Artikel 7 Perlembagaan Kelantan.

Permohonan itu difailkan pada 1 Dis lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md. Yusof menetapkan 31 Dis ini untuk menentukan sama ada permohonan itu akan diteruskan ataupun sebaliknya. -Shazwan Mustafa Kamal

TERKINI


Tengku Fakhry Tak Boleh Cabar Keputusan Pemangku Raja - Peguam

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Tengku Muhammad Fakhry Petra tidak boleh mencabar keputusan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra iaitu Pemangku Raja Kelantan, yang melucutkannya daripada senarai bakal pewaris takhta, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu pada hari Rabu.

Peguam Persekutuan Kanan Datin Azizah Nawawi berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengadili isu berkenaan kerana keputusan Pemangku Raja melucutkan keanggotaan Tengku Muhammad daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan, adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

"Kami menggesa mahkamah ini untuk menolak permohonan mendapatkan kebenaran berasaskan kepada prerogatif Pemangku Raja mengikut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan mengenai pelantikan dan pembatalan anggota Majlis adalah tidak boleh diadili," kata Azizah.

Beliau membantah permohonan bagi semakan penghakiman yang difailkan oleh Tengku Muhammad Fakhry, 31, bagi membatalkan keputusan Tengku Muhammad Faris pada 16 Sept lepas dan satu deklarasi bahawa pembatalan itu adalah bercanggah dengan Perkara 7 Perlembagaan Kelantan.

Dalam permohanan itu, Tengku Muhammad Fakhry turut memohon perintah daripada mahkamah yang menghendaki Tengku Muhammad Faris untuk mengembalikan keanggotannya dalam majlis dan satu perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima anggota majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Pemangku Raja, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Kelantan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Lima responden lain ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman.

Menurut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan, majlis itu bertanggungjawab untuk menentukan bakal pengganti Sultan dan memastikan sama ada wujud kekosongan ekoran ketiadaan pemerintah negeri lebih dari setahun.

Tengku Muhammad Faris selaku Tengku Mahkota Kelantan, dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan berikutan kegeringan Sulan Kelantan pada 24 Mei lepas.

Dalam penghujahannya hari ini, Azizah berkata istilah "Duli Yang Maha Mulia" dalam Perlembagaan Kelantan meliputi Pemangku Raja dan sehubungan itu, Pemangku Raja mempunyai budi bicara mutlak mengenai isu pembatalan pelantikan kepada Majlis mengikut Perkara 7 perlembagaan negeri.

"Prerogatif seumpamanya hanya boleh dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia sendiri dan dengan itu tidak boleh diadili," katanya.

Peguam K. Shanmuga, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry berhujah bahawa Pemangku Raja tidak berkuasa penuh memandangkan baginda tidak dilantik Sultan tetapi oleh Majlis Perajaan pada 2001 apabila Sultan gering.

Beliau berkata Pemangku Raja tidak diberi kuasa untuk melaksanakan fungsinya sebagai Sultan bagi melucutkan Tengku Muhammad Fakhry daripada majlis, dan dengan bertindak sedemikian, wujud perampasan kuasa oleh Pemangku Raja.

"Oleh yang demikian, membenarkan Pemangku Raja untuk meminda komposisi majlis dan mengubah pelantikan yang dilakukan Sultan mengizinkan Pemangku Raja untuk mewujudkan tribunal yang baginda sendiri menjadi hakim, dan sedemikian menjadi faktor penentu keupayaan baginda untuk mengambil alih takhta," katanya.

"Pemangku Raja adalah waris yang pertama akan mewarisi takhta Kelantan tetapi pewarisannya itu tidak automatik, jika beliau tidak disahkan, adinda baginda Tengku Bendahara sebagai pewaris takhta kedua adalah layak, dan jika ini tidak dilakukan, maka pemohon Tengku Temenggong adalah waris selanjutnya yang akan mewarisi takhta," katanya.

Shanmuga semasa berhujah bahawa perkara itu boleh diadili, berkata: "Ini merupakan kes baik untuk diperdebatkan kerana Pemangku Raja tidak diberi kuasa untuk membuat keputusan yang dipersoalkan."

Beliau turu membangkitkan isu bahawa jika Pemangku Raja dibenarkan untuk melaksanakan kuasa budi bicara, sama ada baginda dikehendaki untuk membenarkan pewaris membela diri sebelum membuat sebarang keputusan dan alasan keputusan itu diambil.

Dalam kes ini, Shanmuga berkata tiada alasan diberikan oleh responden kepada Tengku Muhammad Fakhry akan alasan pelucutan tugasnya daripada majlis itu.

"Dihujahkan di sini bahawa penentuan sama ada eksekutif telah melaksanakan kuasanya mengikut yang diperuntukkan undang-undang atau tidak, adalah satu perkara yang Mahkamah Tinggi boleh putuskan," kata peguam itu.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan 31 Dis untuk membuat keputusan. -BERNAMA


Artikel Penuh

Penduduk Serah Memorandum Kepada Anak Syarikat Bank Negara

Lebih 80 orang penduduk dari Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran dan Jalan Papan menyerahkan memorandum mendesak syarikat pemaju TPPT Sdn Bhd untuk tidak menafikan kepentingan penduduk.

Bersama Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, wakil penduduk berarak ke pejabat TPPT Sdn Bhd di Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Memorandum itu menggesa TPPT supaya mematuhi syarat asal pembangunan semula Jalan Bukit Kerayong dan Jalan Bukit Papan seperti yang dijanjikan kepada penduduk.

“Sekarang TPPT jual tanah itu kepada pemaju lain dengan harga RM 32 juta, meraka mendapat keuntungan RM 18 juta dan pemaju itu pula akan membina rumah untuk orang-orang kaya dan akan mendapat keuntungan Rm 150 juta" ujar Ang Mah Chye, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Bandar Jalan Papan.

TPPT Sdn Bhd adalah anak syarikat Bank Negara Malaysia. Syarikat pemaju ini dilantik untuk mengatasi masalah kawasan setinggan dan membina rumah-rumah kos rendah di Pandamaran.

Namun penduduk mendapati TPPT mula mengambil kesempatan dari projek ini dengan menjual tanah-tanah mereka kepada Melati Ehsan Development Sdn Bhd.

Keuntungan yang dikaut TPPT Sdn Bhd hasil penjualan ini mencecah RM 18 juta. Sekiranya projek ini dijayakan, keuntungan kepada pemaju dianggarkan mencecah RM 150 juta.

Charles berkata urusniaga antara dua syarikat pemaju ini menyimpang dari objektif asal projek ini, dan TPPT telah berlaku tidak adil terhadap penduduk Bukit Kerayong yang telah meneroka kawasan ini 70 tahun lalu.

“Apa yang kita maksud ialah mereka semua akan dihalau keluar, mungkin minggu depan atau mungkin esok traktor akan datang dan hancurkan rumah mereka. Itu kita fakir tidak wajar dan tidak adil. Kita di sini untuk membawa memorandum, untuk berbincang secara aman dan memberitahu mereka aspirasi rakyat dan bagaimana kita boleh bersama-sama, kita bukan kata pembangunan tidak bagus, tetapi pembangunan mestilah bersandar kepada rakyat”.

Usaha penduduk jalan Bukit Kerayong dan Jalan Papan untuk berbincang secara aman bagaimanapun gagal lagi apabila pengarah urusan syarikat itu tidak berada di pejabat meskipun telah dimaklumkan kepadanya tentang pertemuan itu.

“Saya merakamkan kekesalan saya tidak dapat berjumpa dan berdialog secara aman dengan pengurus kanan en Hidzir tetapi kita sebentar tadi telah menghantar memorandum kepada pihak TPPT mengatakan kepada mereka supaya projek TPPT ini bahawa projek TPPT ini adalah untuk kepentingan rakyat dan mengatasi masalah rakyat dan bukan untuk mengaut keuntungan”.

Tujuan asal penubuhan TPPT adalah untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai, membina rumah dengan harga berpatutan untuk mempromosikan pemilikan rumah, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.


Artikel Penuh

Blog Widget by LinkWithin
Tajuk-tajuk Terbaru di Kelab GB: