24 Jun 2009

MANEK URAI : PAS SEMAKIN MANTAP

Pas telah pun menetapkan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai (N41) adalah anak tempatan.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas negeri, Abdul Fatah Harun berkata, keputusan itu dibuat hasil daripada kehendak akar umbi dan perbincangan yang dibuat di peringkat Pusat.

“Pucuk pimpinan Pas Pusat telah pun memutuskan nama calon tersebut dan akan diumumkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz pada 26 Jun ini. Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira banyak faktor termasuk kehendak akar umbi,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Pas memilih calon anak tempatan Kuala Krai dan tidak akan melangkaui kawasan di luar Kuala Krai.

Mengulas mengenai gerak kerja jentera Pas menghadapi pilihan raya kecil itu beliau berkata, Pas telah mengatur strategi yang tersendiri dengan kekuatan yang lebih mantap dan kukuh.

“Apa yang kita lihat setakat ini ialah UMNO seolah-olah hilang akal apabila isu utama yang dibuat iaitu berhubung kerajaan perpaduan sudah tidak wujud lagi. Ini menyebabkan mereka terpaksa mencari isu lain.

“Pas sekarang semakin bernafas dan mantap. Penduduk Manek Urai juga semakin yakin dengan kepimpinan menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz,” katanya.

Menurut beliau, apa yang nyata ahli dan penyokong Pas Manek Urai bersyukur dengan pendirian Nik Abdul Aziz lebih-lebih lagi pendirian beliau berhubung isu kerajaan perpaduan.

PAS UMNO : Mujahid Dan Mat Sabu Diantara Timb Pesuruhjaya PAS P.Pinang

Bekas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu telah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pulau Pinang bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya I.

Turut dilantik ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas, Rosidi Hussain sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS III Pulau Pinang. Manakala bagi jawatan setiausaha Fazhil Kerni dilantik semula.Bendahari disandang oleh Taqiudin Hamzah.Untuk jawatan Ketua Penerangan, Zulkiply Ishak daripada kawasan Kepala Batas turut dilantik.

Ahli Jawatankuasa yang turut dilantik ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Hamdan Abdul Rahman, Halim Kader, Rosli Hasan, Jamaludin Said dan Bukhari Ghazali.

Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man. -siasahdaily

PAS UMNO : Kerajaan Belanjakan RM1 Juta Untuk Todt Sebagai Duta Tourism Malaysia

Kerajaan Malaysia hari ini membuat pengakuan telah memperuntukkan RM1 juta untuk bekas pengurus Formula 1 Ferrari, Datuk Seri Jean Todt sebagai duta Tourism Malaysia selama dua tahun.

Demikian dinyatakan oleh menteri Pelancungan Datuk Seri Ng Yen Yen di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak yang juga Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Azmin telah meminta kerajaan menjelaskan urusjanji kerajaan mengenai perundingan dengan Todt bersama tunangnya Datuk Michelle Yeoh, seorang aktes Malaysia dengan mendakwa RM1 juta telah dibelanjakan untuk rakyat Perancis itu.

Menteri berkenaan berkata satu juta di Eropah tidak mempunyai apa-apa nilai sekarang attkala mempertahankan perlantikan Todt. Beliau menambah Jean Todt seorang yang amat dikenali. Beliau meyakini Malaysia. Todt mempunyai rangkaian luas dan dikenali pada peringkat antarabangsa.

Azmin juga ingin tahu kebenaran dakwaan bahawa Todt dan tunangnya telah ditawarkan untuk memiliki tanah bagi mendirikan rumah mereka di di Pulau Besar di negeri Terengganu.

Yen yang juga Naib Presiden MCA menafikan dakwaan tersebut sebagai sebahagian dari urusjanji kerajaan dengan Todt dan menafikan Todt memiliki tanah di Terengganu.

Azmin menyatakan beliau mempunayi dokumen untuk membuktikan kerajaan telah menawarkan tanah di Pulau Besar kepada Todt sebagai sebahagian dari perundingan perlantikannya sebagai duta pelancongan.

Walau bagaimanapun Azmin enggan untuk mendedahkan samada Todt ada membuat sebarang pembayaran untuk memiliki tanah berkenaan atau ianya diberikan secara percuma atau pada akadar diskaun.

Azmin berkata beliau menunggu dahulu jawapan penuh dari kerajaan sebelum mendedahkan butiran tersebut dengan lebih terperinci.


PAS UMNO : Isu Labuan dan Terowong SMART Riuhkan Parlimen

Ketiadaan perancangan jangka panjang industri pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad didalam sessi soal jawab Dewan rakyat pagi tadi menerima jawapan yang kurang meyakinkan dari Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sri Sulaiman Abd Rahman Taib.

Khalid menyatakan Labuan telah diserahkan kepada Wilayah Persekutuan semenjak 1984, iaitu 25 tahun yang lalu dan adalah sesuatu yang pelik dalam tempoh itu tiada perancangan sepertimana yang diakui oleh Timbalan Menteri Pelancongan sendiri.

Dengan sebab itu Khalid secara seloroh meminta Barisan Nasional letak jawatan saja dan Pakatan Rakyat ambil alih jika tak tahu nak buat apa.

Timbalan menteri berkenaan telah bangun menjawab menyatakan bahawa infrastruktur di Labuan semua telah ada, Kementerian Pelancongan sekarang tidak ada rangka panjang, bukan tidak ada perangcangan.

Parlimen sekali lagi gamat apabila Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim bangun meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan berikutan perbelanjaan hampir RM2 bilion telah dibelanjakan bagi membina Smart Tunel untuk mengatasi masalah banjir di Bandaraya Kuala Lumpur, namun keadaan banjir masih lagi serius. Mengapakah Smart Tunel ini tidak efektif dalam mengatasi masalah banjir seperti yang dirancang.

"Smart Tunnel terpaksa ditutup beberapa kali, dan terdapat beberapa banyak kereta yang tenggelam hasil daripada usaha pelaburan dua billion tersebut," kata Tan Sri Khalid.

"Penggunaan tunnel itu tidak menyelesaikan masalah keseluruhannya, dan apakah langkah-langkah kementerian untuk menyelesaikan maslaah keseluruhan," tambahnya dengan diganggu oleh wakil rakyat Batu Pahat dengan menuduh MB Selangor tersebut tidak ada KPI.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas telah bangun mengelak untuk menjawab soalan tersebut dengan menyatakan ia terkeluar dari soalan asal disamping meminta MB Selangor tersebut memahami fungsi SMART ditubuhkan, malah beliau sempat mengeluarkan perkataan bodoh sebelum beliau diminta oleh wakil rakyat pembangkang untuk menarik balik "unpaliamentary remark" tersebut.

Suasana menjagi gamat apabila menteri berkenaan telah menarik balik tetapi telah ditegur oleh Ahli Parlimen Gombak yang memerhatikan gelagat Menteri berkenaan yang tidak memasang mikrofonnya sewaktu membuat penarikan balik.

Akhirnya beliau menarik balik perkataan bodoh berkenaan.



UMNO PALING KECEWA PAS DAN PR TOLAK KERAJAAN PERPADUAN

Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamad berkata, keterlanjuran PAS dalam menghadapi isu kerajaan perpaduan sekali gus telah memperlihatkan kepura-puraan Umno kononnya untuk bekerjasama dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, Umnolah antara yang paling kecewa dengan keputusan PAS dan Pakatan Rakyat yang menolak kerajaan perpaduan dengan bermacam-macam tohmahan termasuklah mengatakan PAS penakut.

"Umno tohmah kita mengatakan kita takut dengan Pakatan Rakyat sebab itulah mereka beriya-iya sangat hendak mewujudkan kerajaan perpaduan," katanya semasa dihubungi.

Sebenarnya, kata Ustaz Mahfodz, PAS dalam masa yang sama boleh melihat sejauh mana hati budi serta keikhlasan Umno dalam merealisasikan agenda itu.

"Tetapi akhirnya PAS melihat hati budi Umno sebenarnya. Nampaknya Umno sudah terlalu terlajak dalam memberi respons dalam isu ini. Sehingga surat khabar yang tidak pernah memuji PAS akhirnya terlalu memuji PAS dan Umno pula sanggup menawarkan bermacam-macam syarat untuk menarik PAS bekerjasama dalam kerajaan perpaduan," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur atas keputusan majlis Pakatan Rakyat dan juga Majlis Syura PAS yang menolak kerjasama dengan Umno.

Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor juga bersyukur kerana keputusan itu melegakan semua pihak di peringkat akar umbi yang selama ini 'susah hati' kerana mainan politik umno yang sengaja mahu melihat Pakatan Rakyat berpecah.

"Keputusan itu sekaligus menyatupadukan semula PAS dan Pakatan Rakyat termasuk ahli dan penyokong PAS dari peringkat bawah hinggalah ke atas," katanya.

Beliau juga turut mengingatkan pimpinan parti itu jangan mudah terpedaya dengan mainan politik Umno BN sekali gus berbincang terlebih dahulu bersama pimpinan tertinggi mereka sebelum memberi reaksi sesuatu perkara.

"Apabila ada keputusan pimpinan tertinggi mereka diperingkat bawah akan taat setia dengan keputusan itu," katanya selepas ini ahli dan penyokong PAS menumpukan sepenuhnya kepada pilihan raya kecil Manek Urai. - Salmiya Harun

PAS UMNO : HIMPUNAN PAKATAN RAKYAT 30 JUN (SELASA DEPAN)

Pakatan Rakyat akan menganjurkan Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 rakyat pada 30 Jun nanti, demikian lapor harakahdaily.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, program tersebut diadakan bagi menjelaskan kekeliruan terhadap segala fitnah dan konspirasi yang ditimbulkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan tujuan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Beliau yang mewakili Sekretariat Pakatan Rakyat menyeru orang ramai hadir ke program tersebut yang akan diadakan di Stadium MPPJ, Kelana Jaya bermula pukul 9.00 malam.

"Program ini diadakan bagi menerangkan kepada orang ramai terhadap fitnah dan konspirasi yang dimainkan oleh Umno-BN yang bertujuan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat," jelas beliau kepada Harakah.

Satu ceramah perdana akan diadakan pada malam tersebut dimana kesemua pemimpin utama Pakatan Rakyat dijangka hadir.

Antara yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada malam tersebut; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tokoh DAP Lim Kit Siang dan pemimpin-pemimpin utama ketiga-tiga parti.

PAS UMNO : Pilihanraya Perak Selepas Manek Urai?

Pilihan Raya Kecil Negeri Perak dijangka akan berlaku selepas pilihan raya kecil Dun Manik Urai, demikian kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, lapor harakahdaily.

"Saya menjangkakan pilihan raya Negeri Perak mahu atau tidak akan diadakan, sebab itu kita cadang mahu buat persiapan apa yang patut hadapi pilihan raya Perak.

Beliau melihat bertapa pentingnya kini JPP yang dikendalikan bersedia awal dengan memantapkan ahli-ahli jawatankuasa mengenai nilmu pilihan raya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama Harakah di bangunan Parlimen baru-baru ini.

Beliau merupakan Pengarah JPP yang baharu sahaja dilantik selepas pemilihan jawatankuasa PAS Pusat pada Muktamar ke-55 yang lalu.

Menyentuh isu persiapan, ujarnya JPP akan meneliti dari segi 'finding' yang perlu dilakukan lebih awal agar ia tidak sekadar menjadi 'ad hoc' semata-mata.

Di Perak katanya pada pilihan raya umum yang lalu, PAS telah bertanding 21 kerusi dan hanya menang enam.

Namun ujar Ustaz Halim, ada beberapa kerusi lagi PAS kalah bawah 1500 undi, justeru kerusi-kerusi ini akan difokuskan.

"Kita kalah tipis dalam 10 kerusi. Jika boleh menang 6 lagi, boleh jadi 16 kerusi, di bawah 1500.

"Dalam PRK Bukit Gantang apa yang kami lihat ialah jentera di peringkat kawasan di sana tak begitu bermaya, kerja pilihan raya tidak berjalan dengan baik jika tiada bantuan negeri dan kawasan susahlah, kita kena melihat itu," katanya.

Begitupun jika diadakan pilihan raya kecil di Perak, Ustaz Halim yakin PAS akan menang lebih kerusi berbanding sekarang.

Tetapi katanya gerak kerja perlu dicantumkan dengan politik dan strategi dengan mengemuka calon bukan Islam dan taktikal strategi dengan soal wang semua perlu disiapkan.

"Selepas Manik Urai kita akan turun di Perak," ujarnya ringkas.

UMNO PERLU SOKONG PAS JIKA IKHLAS PERJUANGKAN ISLAM

SSekiranya UMNO ikhlas berpadu dengan Pas, parti itu perlu memilih bersatu dengan Pas sebagai menyokong perjuangan Islam yang dibawa dasar parti itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, hanya Islam yang dapat mengembalikan perpaduan orang Melayu dan Islam.

Menurutnya, dasar perjuangan Islam hanya wujud dalam Pas sedangkan UMNO tidak memperjuangkan sebagaimana dasar yang dibawa PAS.

“Sebetulnya UMNO kembali kepada Pas, lebih-lebih lagi UMNO sudah hampir runtuh dan musnah.

“Kalau UMNO memiliki niat ikhlas untuk berpadu, mereka perlu memberi sokongan kepada Pas, termasuk Pakatan Rakyat (PR),” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini dilaporkan penganalisis politik tanah air bimbang kuasa politik Melayu akan lupus sekiranya idea kerajaan perpaduan Pas dan UMNO tidak menjadi kenyataan.

Profesor Dr Ahmad Atory Hussain dari Pusat Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia kononnya berkata, amat malang dan bahaya jika Pas enggan bekerjasama dengan UMNO kerana kerajaan perpaduan sebenarnya bertujuan menyatupadukan bangsa Melayu di negara ini tanpa mengambil kira ideologi politik.

Dalam perkembangan lain, Pemuda Pas Terengganu akan membantu Pas Kelantan untuk memenangkan calon parti pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai depan.

Menurutnya, Pemuda parti itu akan menurunkan kira-kira 100 orang tenaga kerja untuk meraih sokongan.

“Kita hanya menjaga satu Unit Peti Undi di DUN tersebut dan Pemuda di kawasan masing-masing di negeri ini juga akan turut memberikan kerjasama kepada Pas di Kelantan,” katanya.


Waran Tangkap Terhadap Ahli Parlimen Kapar

MMahkamah Koroner di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang enggan menerima sapina untuk menjadi saksi dalam prosiding inkues bagi mengetahui punca kematian pelakon Tamil tempatan, K. Sujatha.

Majistret Mohd. Faizi Che Abu yang bertindak sebagai Koroner memerintahkan demikian selepas pegawai penyiasat, Cif Inspektor Tay Chiew Thua memaklumkan bahawa usaha telah dilakukan untuk menyerahkan sapina itu tetapi gagal.

Chiew Thua menyatakan demikian selepas dipanggil oleh Timbalan Pendakwa Raya Geethan Ram Vincent bagi menjelaskan perkara tersebut.

Pegawai polis itu memberitahu, dia menerima arahan daripada pegawai penyiasat kes, Cif Inspektor Zukkifeli Pajar pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Manikavasagam yang dihubungi melalui telefon bimbit kemudian menyuruhnya menemui beliau di lobi Parlimen pada pukul 2.30 petang semalam.

Bagaimanapun setibanya di Parlimen, menurut Chiew Thua, dia menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Manikavasagam yang memaklumkan beliau sudah keluar makan tengah hari dan tidak akan kembali kerana menghadiri mesyuarat di Kapar.

Selepas mendengar penjelasan tersebut, Mohd. Faizi yang mengeluarkan perintah waran tangkap turut mengarahkan Manikavasagam hadir pada prosiding yang dijadualkan 9 Julai ini memandangkan beliau adalah saksi penting.

Manikavasagam menafikan yang beliau sengala mengelak daripada menerima sapina untuk tidak menghadiri prosiding inkues.

"Saya baru dengar sudah ada waran tangkap... saya akan mohon untuk ketepikan waran tangkap. Bagaimana waran tangkap boleh dikeluarkan jika sapina tidak diserahkan?" katanya.

Beliau akan failkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Terdahulu, menurut Manikavasagam, beliau sehingga pagi tadi tidak diserahkan sapina bagi tujuan tersebut.

"Memang ada pegawai polis yang menghubungi saya minggu lalu dan saya telah meminta datang ke pejabatnya hari Jumaat, Sabtu atau Ahad lalu tetapi mereka tidak datang.

Sementara itu, Ketua Unit Forensik Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Shahrom Abd. Wahid turut dipanggil memberikan pendapatnya mengenai sebab kematian Sujatha menerusi laporan bertarikh 20 Mei 2008 yang disediakan bagi membantu siasatan.

Katanya, bedah siasat forensik perlu dilakukan ke atas mayat Sujatha berikutan arahan sudah dikeluarkan polis menerusi POL 61.

"Sebaik saja POL 61 dikeluarkan ia bermakna polis menaruh syak terhadap kematian Sujatha dan bedah siasat mesti dilakukan berikutan sebab kematian yang diberi oleh hospital adalah tidak sah mengikut Kanun Prosedur Jenayah.

"Ini berikutan pihak hospital gagal membuktikan kematian Sujatha disebabkan racun parakuat memandangkan ujian kandungan racun itu dalam air kencing yang dijalankan ke atas wanita itu adalah negatif,’’ katanya.

Bagaimanapun Shahrom bersetuju bahawa kesan klinikal pada mayat Sujatha sememangnya jelas menunjukkan wanita itu telah minum racun parakuat berdasarkan lecur kimia iaitu ulser yang ada pada bibir mayat pelakon itu.

Saksi ke-21 itu turut menyatakan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) gagal mengguna pakai Seksyen 328 Kanun Prosedur Jenayah yang menjelaskan sebab kematian mangsa yang seharusnya dibuktikan secara saintifik dan bukannya klinikal.

‘‘Oleh demikian, pihak hospital harus melakukan bedah siasat forensik supaya ia lebih jelas kenapa mangsa menemui ajal iaitu sama ada bunuh diri atau sebaliknya,’’ katanya.

Menurut beliau, sekiranya pegawai penyiasat telah mengarahkan bedah siasat forensik dijalankan, doktor tidak perlu meminta kebenaran daripada waris.

Dalam laporannya, pakar itu turut berpendapat bahawa Sujatha minum racun tersebut tanpa sebarang paksaan secara fizikal oleh orang lain berdasarkan tiada kesan percikan di bahagian selain bibir atau kesan mengelakkan diri daripada dipaksa minum.

Inkues ini diadakan bagi mengetahui punca kematian Sujatha yang merupakan setiausaha peribadi Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, S. Vell Paari yang juga anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.



PPSMI : DASAR KERJAAAN UMNO BN YANG GAGAL

kerajaan akan mengumumkan keputusan menyeluruh berhubung kontroversi pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), awal Julai ini.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan demikian - jaminan yang paling konkrit pernah disampaikan oleh kerajaan - ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Parlimen pagi ini.

PPSMI mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak termasuk bukan Melayu yang bimbang dengan pencapaian pelajar dalam subjek berkenaan khususnya di kalangan pelajar luar bandar.

Malah pejuang bahasa kebangsaan juga melihat PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan apabila bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah.

Kemuncak terhadap bantahan itu apabila Gerakan Menentang PPSMI (GMP) mengadakan perhimpunan membabitkan kira-kria 5,000 orang yang kemudiannya berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menuntut pemansuhan dasar tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementerian memfokuskan kepada usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru dan murid dengan menambah baik latihan guru serta meningkatkan mutu pengajaran serta pembelajaran subjek itu di sekolah.

"Antara langkah yang diambil ialah masa pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah ditambah untuk membolehkan kandungan pengajaran dan pembelajarannya ditambah,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu penting kerana penguasaan bahasa Inggeris yang baik di kalangan murid dan guru merupakan pra syarat utama kepada kejayaan dasar seperti PPSMI.

Tambahnya, kajian kementerian dan pasukan penyelidik bebas daripada institusi pengajian tinggi (IPT) mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid dan guru secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana.


PAS UMNO : MAJLIS PEGUAM AKAN SAMAN KERAJAAN

Majlis Peguam Malaysia menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz, membantah sekeras-kerasnya penahanan lima peguam yang memberi khidmat guaman kepada tahanan polis pada 7 Mei lalu.

Presidennya, Ragunath Kesavan berkata Majlis Peguam memandang serius penahanan ini kerana ia secara langsung menafikan hak tahanan kepada proses undang-undang yang adil.

Memorandum itu mahu kerajaan menjamin hak tahanan mendapatkan khidmat guaman serta memastikan polis tidak lagi bertindak di luar bidang kuasa mereka.

Lima peguam terbabit ditahan atas tuduhan perhimpunan secara haram dalam usaha mereka memberi khidmat bantuan guaman kepada 15 individu yang ditahan polis kerana terbabit dalam perhimpunan solidariti untuk aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Wong Chin Huat.

Wong ditahan di bawah Akta Hasutan selepas melancarkan kempen pemakaian baju hitam sebagai tanda berkabung untuk rampasan kuasa BN di Perak.

Fadiah Nadwa Fikri, Murni Hidayah, Puspawati Rosman, Ravinder Singh Dhalliwal dan Shuhaini Safwan dari Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur dibebaskan selepas ditahan di Balai Polis Brickfields.

"Akses kepada peguam adalah aspek penting sistem keadilan dan pada hemat saya kita perlu kembali semula kepada asas: menghormati kedaulatan undang-undang.

"Sesuatu yang malang untuk yang tertuduh apabila peguam mereka ditahan sebaik sahaja menjejak kaki ke balai polis. Menahan peguam semasa mereka menjalankan tugas-tugas mereka secara jelas melanggar sistem keadilan," kata Ragunath.

Ragunath menambah tindakan undang-undang terhadap polis bagaimanapun akan tetap diteruskan.

"Kami tetap memfailkan tindakan mahkamah bagi pihak lima peguam terbabit," kata Ragunath.

Sementara itu, Nazri berkata beliau akan meneliti kandungan memorandum ini dan akan mengambil tindakan positif keatas isu ini sementara dalam isu yang membabitkan polis, beliau akan serahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein. Salinan memorandum itu juga akan beliau serahkan kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Nazri mengelak menjawab soalan wartawan apakah polis telah melakukan kesalahan menahan peguam-peguam terbabit namun beliau akui bahawa kedaulatan undang-undang harus dipertahankan.